Anda di sini

Kerajaan pertimbang bina paip sementara salur air ke Sg Langat

TEMERLOH: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mempertimbangkan untuk membina paip sementara menghubungkan terowong Projek Loji Rawatan Air Langat 2 ke loji rawatan sedia ada, sementara menunggu projek itu siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan pembinaan paip sepanjang 1.5 kilometer itu bagi menyelesaikan krisis air di Lembah Klang.

“Cadangan ini akan dibawa ke kabinet kerana ia membabitkan kos pembinaan paip dan persetujuan daripada kerajaan negeri Pahang.

“Jika dipersetujui kerajaan pusat dan Pahang, pembinaan paip ini boleh disiapkan pada Oktober atau November depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian berkelompok mesyuarat UMNO cawangan di Bahagian Temerloh, di sini semalam.

Katanya menerusi cadangan itu, air dari Sungai Semantan di Pahang disalurkan ke Sungai Langat di Selangor untuk dibekal ke loji rawatan air sedia ada.

“Kita sentiasa memikirkan semua opsyen yang ada untuk membantu meringankan beban rakyat, paling penting rakyat mendapat faedah daripada cadangan,” katanya.

Mengenai terowong sepanjang 46.6 kilometer yang akan menyalurkan air Sungai Semantan ke Sungai Langat sebelum dibekal ke Loji Rawatan Air Langat 2, Mahdzir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bekalan Krisis Air, berkata setakat ini projek itu sudah siap lebih 90 peratus.

Minggu lepas, media melaporkan Salcon MMCCB AZRB JV Sdn Bhd menerima surat penerimaan yang dikeluarkan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) untuk cadangan pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Penyeliratan Air bernilai RM993.888 juta untuk disiapkan dalam tempoh 36 bulan.

Sementara itu, Mahdzir berkata kerajaan akan meneruskan program pembenihan awan walaupun paras air di beberapa empangan di Selangor kini mencapai tahap selamat.

Menurutnya paras air di Empangan Sungai Tinggi dan Klang Gate sudah meningkat ke paras selamat, manakala Empangan Sungai Selangor masih pada paras kritikal 37.88 peratus. — Bernama