Anda di sini

Kerajaan Johor komited mentransformasikan pembangunan Kota Tinggi, kata Khaled

Advertisement

KOTA TINGGI: Kerajaan negeri Johor komited untuk mempertingkatkan pembangunan di Kota Tinggi bagi memacu pertumbuhan daerah berkenaan sekali gus merancakkan kemajuan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan sedang mengkaji beberapa cadangan pembangunan komprehensif yang dikemukakan Pejabat Daerah Kota Tinggi bagi mentransformasikan daerah itu yang kaya dengan nilai sejarah, produk pelancongan dan pertanian.

“Kota Tinggi mempunyai kekuatan yang berbeza dari daerah lain. Kita mahu menentukan ia kekal sebagai kota pelancongan sejarah dan lembah pengeluaran makanan negara selain membangun sebagai hab minyak dan gas seperti dirancang kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat pembangunan Kota Tinggi dan menaiki bot menyusuri Sungai Johor dari jeti Tun Seri Lanang ke Kampung Panchor, Kampung Seluyut dan Kampung Teluk Sengat, di sini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri akan meneruskan program Kembara Wangsa Johor iaitu program menyusuri Sungai Johor memandangkan kawasan sepanjang sungai itu seperti Batu Sawar, Seluyut, Panchor dan Johor Lama mempunyai kesan tinggalan sejarah kerajaan Johor yang berpotensi untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Beliau berkata terdapat juga cadangan untuk membangunkan santuari gajah, belukar durian dan Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang akan diperhalusi pihaknya bagi melonjakkan pembangunan daerah berkenaan. — Bernama

Advertisement