Anda di sini

Staytuned Motorsports Club perhebat permotoran Sarawak

Advertisement

RANCAK: Solah (kiri), Paruwadi, Roslan, Kuek (lima kanan) dan Amihizam (tiga kanan) bersama kereta lumba Formula K600 di Kuching kelmarin.

KUCHING: Industri sukan permotoran Sarawak bakal diperhebatkan melalui sokongan daripada Staytuned Motorsports Club.

Kelab yang berpangkalan di Kuching itu secara rasminya menjadi sebahagian daripada Persatuan Sukan Lumba Otomotif Sarawak (SARSA) dan berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan Malaysia (SSM) pada 21 Mac lalu.

Sehubungan itu, Presidennya Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata Staytuned Motorsports Club telah mendapat kelulusan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sukan permotoran seperti Siri Jelajah Borneo dan pacuan empat roda di sini.

Bagaimanapun, mereka hanya diberi kebenaran menganjurkan aktiviti yang disokong oleh Persatuan Otomobil Malaysia (AAM).

“Kita bercadang untuk mempromosi Sarawak sebagai destinasi sukan pelancongan dengan membawa peserta dari negara luar menyertai perlumbaan siri antarabangsa yang akan diadakan di sini seperti Siri Super Borneo dan Super Asia 16,” katanya pada sidang media pelancaran kelab itu di sini kelmarin.

“Selain itu, kita juga berhasrat membantu kerajaan negeri membendung masalah lumba haram kalangan remaja selain memberi golongan itu peluang menyertai perlumbaan di peringkat antarabangsa.” katanya.

Solah berharap penyertaan mereka dalam SARSA juga dapat membantu menyampaikan maklumat serta peraturan yang tepat kepada peminat yang berhasrat menyertai perlumbaan sebenar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya menyambut baik penubuhan Staytuned Motorsports Club.

Katanya, polis juga bersedia memberikan komitmen serta sokongan padu terhadap aktiviti- aktiviti yang dilaksanakan oleh kelab tersebut dari semasa ke semasa.

Advertisement