Anda di sini

Skuad Sarawak sedia gempur

Advertisement

Tampilkan lapan peserta sertai kejohanan Wushu Dunia

KUCHING: Kontinjen Wushu Sarawak yakin mampu memberi tentangan hebat kepada lebih 30 negara terlibat pada Kejohanan Wushu Peringkat Dunia, Piala Zhongwha yang pertama di Taichung City, Taiwan pada 24 hingga 29 April ini.

Presiden Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak, Prof Datuk Dr Song Swee Hee berkata kontinjen Sarawak mewakili negara terdiri lapan peserta untuk mengibarkan cabaran pada kejohanan itu dan berazam meletakkan nama Malaysia khasnya Sarawak sebagai pasukan unggul dalam sukan wushu.

“Kita akan mengambil bahagian dalam 16 acara. Daripada jumlah tersebut, kita mensasarkan membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas.

“Kita berharap impian dapat dicapai dengan berbekalkan segala pengalaman dan kemahiran melakarkan kejayaan cemerlang buat kontinjen negara,” katanya pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri di sini semalam.

Dr Song bersama jurulatih Datuk Seri Yeo Liew Lian, Datin Seri Lily Giam (pegawai), jurulatih Lai Lee Sze (guru), Judy Song (peguam), Alvin Yeo (pelajar Universiti Swinburne Sarawak), Jacqueline Song (pelajar SMK St Theresa) dan Reyes Chang (pelajar SK Green Road) akan berangkat pada 23 April ini.

Sementara itu, Nancy berkata penyertaan kontinjen Sarawak dalam acara berprestij antarabangsa itu sudah tentu akan meningkatkan mutu dan pembangunan wushu sebagai sukan seni wushu justeru meletakkan Sarawak, Malaysia pada peta dunia.

Beliau menerima surat lantikan rasmi sebagai Presiden Kehormat Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak turut melahirkan harapan agar kontinjen itu dapat mencatat rekod baik bagi Malaysia serta membawa pulang lebih banyak pingat.

“Kecemerlangan mereka dalam sukan wushu telah meletakkan Malaysia di peta dunia dan mereka banyak memenangi banyak pingat sebelum ini, sesuatu yang kita amat banggakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Sadong Jaya itu turut menyentuh mengenai penglibatan Bumiputera semakin ketara dalam sukan wushu yang dahulunya didominasi masyarakat Cina.

Katanya, jumlah penyertaan masyarakat Bumiputera dalam wushu kini sebanyak 60 peratus daripada jumlah ahlinya yang lebih 800 orang.

“Malah sekarang, ada pusat wushu di Kampung Gita, di Petra Jaya. Ramai Bumiputera termasuk golongan wanita terlibat dalam sukan tersebut,” katanya.

Persekutuan itu turut menawarkan kemasukan pelajar baharu untuk dewasa dan kelas keluarga di No 352, Lorong 3, Kali Garden, Jalan Resak, Kuching pada Isnin 7.15 hingga 8:30 petang.

Pusat-pusat latihan terbabit ialah PNWS Jalan Resak, Kuching By-Pass pada Sabtu (5 hingga 6 petang) dan Dewan Masyarakat Sungai Maong (Ahad, jam 10.30 hingga 11.30 pagi), Dewan Persatuan Taman Hui Sing (Ahad, 10 hingga 11 pagi), SK St Joseph (Sabtu, 2 hingga 3 petang), Nanyang Wushu Tabuan Height Fasa I (Selasa, 7.15 hingga 8.15 malam), Gelanggang Bola Keranjang Batu 7, Jalan Airport Lama (Ahad, 2 hingga 3 petang) dan Gelanggang Bola Keranjang, Jalan Arang Batu 4, (Ahad, 2 hingga 3 petang).

Pusat latihan lain di Pusat Wushu Kota Padawan (SJK Chung Hua Batu 10) pada Sabtu (4 hingga 5.

45 petang), Dewan Komuniti Siburan Batu 17 (Ahad, 9 hingga 10 pagi) dan Dewan Serbaguna Kampung Gita (Ahad, 4 hingga 5 petang), Dewan Masyarakat Bau (Ahad, 11 pagi hingga 12 tengah hari), Dewan SJK Chung Hua Serian (Ahad, 11 pagi hingga 12 tengah hari) dan Dewan Masyarakat Serian (Ahad, 5 hingga 6.30 petang).

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 019-886,6879, 016-886,6879 atau 016-867,5079.

Advertisement