Anda di sini

Penduduk Kampung Sungai Midin diharap sabar tunggu kemudahan

Advertisement

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berharap penduduk Kampung Sungai Midin bersabar menunggu kemudahan di situ lengkap sepenuhnya.

Menurutnya, melaksanakan kesemua keperluan dan kemudahan memerlukan masa dan tidak dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

Lebih-lebih lagi katanya, jika tanah atau kawasan perkampungan tersebut merupakan kampung setinggan dan mempunyai masalah pada status tanahnya.

“Untuk menyelesaikan masalah (kemudahan asas) yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Kampung Sungai Midin ini bukanlah mudah.

“Saya serta Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof berjanji akan menyelesaikan keperluan rakyat di situ dan seluruh kawasan kami khasnya.

Apa yang kami perlukan adalah rakyat perlu bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita mengenai permintaan penduduk yang inginkan keperluan asas seperti meter elektrik, air paip dan kemudahan jalan serta longkang di kampung tersebut dibaiki.

Mengulas lanjut, Hasidah memberitahu, untuk membawa kemudahan tersebut secara seragam, kerajaan memerlukan projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) seperti diumumkan oleh Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dahulu siap dilaksanakan.

“Terima kasih kepada Menteri Perumahan kerana meluluskan peruntukan bagi melaksanakan projek RMR di Kampung Sungai Midin.

“Kita juga telah berbincang dengan Menteri Perumahan agar menyegerakan pelaksanaan projek ini bagi memastikan semua kemudahan lain dapat dibawa ke kampung ini dengan seragam,” jelasnya.

Justeru, Hasidah sekali lagi memohon agar penduduk di situ memahami usaha yang dilaksanakan kerajaan kerana matlamat kerajaan adalah untuk membantu rakyat.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ranting PBB Kampung Sungai Midin dan pihaknya berjanji akan terus berusaha membawa kemudahan seperti yang diharapkan di situ walaupun memakan masa.

 

Advertisement