Anda di sini

Pencarian diteruskan kemungkinan ditambah aset komersil: Hishammuddin

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam memberi jaminan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan diteruskan, walaupun terdapat rancangan operasi berkenaan akan dibincang dan dibuat penilaian semula.

Katanya pasukan operasi mencari di bawah seliaan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan Australia dan pihak terbabit, bagaimanapun menimbang pendakatan lain, termasuk meluaskan skop pencarian dan menggunakan aset lain yang mungkin relevan dengan pencarian itu yang memasuki hari ke-43 semalam.

Selain terus menggunakan kapal selam mini Bluefin-21 untuk kerja mencari di dalam air, pihak berkuasa Malaysia kini mengkaji kemungkinan menambah penggunaanaset komersil dalam operasi itu, katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan usaha mencari pesawat berkenaan di sini semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot berkata operasi mencari itu akan dibincang dan dinilai semula sekiranya tidak terdapat perkembanganbaharu “dalam masa beberapa hari lagi”.

“Di sini, syarikat seperti Deftech, DRB, Boustead dan beberapa syarikat Malaysia telah bertemu dan berbincang dengan rakan mereka dari luar negara berhubung cara bagaimana kita boleh menambah AUV (kenderaan dalam air autonomi)untuk membantu usaha mencari,” kata Hishammuddin.

Hishammuddin mengesahkan bahawa AUV Bluefin-21 berjaya merakam dengan jelas imej keadaan di dasar laut dalam misi pencariannya.

“Bagaimanapun, daripada kesemua enam misi yang dijalankan, sehinga kini, tidak terdapat sebarang penemuan yang berkaitan,” katanya sambil menjelaskanbahawa kapal selam mini itu memulakan misi ketujuhnya pagi semalam.

Beliau juga menolak laporan media yang membayangkan UAV itu akan mengambil masa antara enam minggu dan dua bulan untuk mengimbas seluruh kawasan pencarianyang ditetapkan.

“Itu tidak betul. Kawasan mencari yang ditetapkan ketika ini akan selesai diliputi Bluefin-21 dalam masa seminggu,” katanya.

Beliau berkata kini tibalah masanya bagi pihak yang terlibat dalam operasi mencari itu berbincang tentang penggunaan kapal selam.

Penerbangan MH370 bersama 239 orang ke Beijing, hilang daripada pengesanan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan LautanHindi apabila pesawat itu didapati menukar laluannya.

Ditanya sama ada lokasi mencari ketika ini yang berpandukan input daripada satelit Inmarsat perlu dinilai semula, Hishammuddin berkata fokus perlu diberidi kawasan semasa.

“Yang penting sekarang, fokus hari ini dan esok dibuat berdasarkan hasil perbincangan dengan JACC, usaha mengurangkan keluasan kawasan mencari kiniberada di peringkat amat kritikal. Saya merayu kepada semua pihak di seluruhdunia supaya berdoa agar kami menjumpai sesuatu yang akan membolehkan kami memberi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa peringkat kementerian yang dibentuk berikutan kehilangan pesawat itu telah merangka cadangan struktur dan Terma RujukanPasukan Penyiasatan Nahas Kapal Terbang bagi MH370.

Langkah itu sejajar dengan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996 (MCAR 1996) dan Lampiran 13 -­ Konvensyen Chicago Mengenai Kemalangan Kapal Terbang dan Penyiasatan Kejadian.

Hishammuddin berkata pasukan yang dicadangkan itu akan dianggotai pakar dari dalam dan luar negara.

“Saya juga telah berbincang dengan Sekretariat Asean berhubung kemungkinan melantik beberapan rakan sejawatan kami menganggotai pasukan itu,” katanya.

Hishammuddin berkata beliau juga telah berbincang dengan Jean-Paul Troadec, berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes kehilangan pesawat Penerbangan 447Air France, berhubung penggunaan aset komersial swasta bagi membantu operasimencari Penerbangan MH370.

“Ketika kami akan melangkah ke fasa pencarian berikutnya, saya terharu apabila lebih banyak rakan dari negara lain menyuarakan kesediaan mereka membantu dan menyokong usaha kami untuk mengesan MH370,” katanya. — Bernama

Advertisement