Anda di sini

Operasi perniagaan pemilik sijil halal diawasi pastikan status halal diiktiraf

Advertisement

MIRI: Operasi perniagaan pemilik-pemilik sijil halal terus diawasi bagi memastikan status halal mereka diiktiraf dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata pihaknya tidak berlembut dalam melaksanakan penguatkuasaan agar produk makanan yang dikeluarkan dan dihidangkan adalah halal dan bersih untuk pelanggan beragama Islam.

Daud berkata pihak berkuasa tidak teragak-agak bertindak menarik balik sijil berkenaan sekiranya pemilik gagal mempertahankan kualiti dan kriteria dipersetujui.

“Dengan mendapat sijil halal, tidak bermakna kami akan berlembut (kepada pemilik sijil).

“Kami akan memantau premis dari semasa ke semasa. Kami ada jawatankuasa audit yang akan memantau premis pada setiap dua tahun.

“Banyak organisasi yang mendapat sijil halal ditarik balik kerana tidak memenuhi persetujuan,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Halal kepada Kafe Shukie, di sini malam kelmarin.

Menurutnya, JAIS dan JAKIM memegang tanggungjawab besar dan penting untuk memastikan produk-produk makanan yang dipasarkan kepada masyarakat Islam di negara ini adalah halal dan bersih.

Jawatankuasa penguat kuasa yang dianggotai Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan ditubuhkan untuk melakukan pemantauan.

“Ramai yang bertanya, kalau dapat sijil ini betulkah halal?

“Lebih-lebih lagi yang menerimanya adalah bukan beragama Islam. Kami beritahu mereka, setelah mereka menerima sijil halal adalah tanggungjawab kami memastikan ia benar-benar halal,” tegasnya.

Daud berkata sebahagian besar iaitu 75 peratus pemilik sijil halal di negeri ini adalah kalangan peniaga bukan Islam berbanding hanya 25 peratus pemilik beragama Islam.

“Ini tidak bermakna kami memberi sijil halal ini sebegitu sahaja. Ada kriteria yang perlu dipenuhi.

“Antara yang utama ialah kakitangan di dapur adalah beragama Islam. Ini yang penting.

“Kalau tempat makanan dan dapur tidak ada orang Islam, kami tidak akan beri, sebab kami percaya yang memastikan makanan tersebut halal ialah orang Islam.

“Kami percaya jika adanya orang Islam menjadi tanggungjawab masyarakat Islam itu memastikan premis mendapat sijil halal,” jelasnya.

Daud menambah, antara kriteria lain ialah penyediaan makanan merangkumi bahan-bahan perencah dan sumber daging halal termasuk kebersihan dapur dan tandas.

“Sekiranya kami memberi sijil halal kepada mana-mana organisasi, semua Muslim perlu menerimanya tanpa ragu-ragu.

“Peniaga harus memastikan bahawa pengendalian makanan dibuat dengan betul dan bersih.

“Dapur mesti bersih, pekerja dapur perlu memenuhi kriteria dan kalau pekerja wanita pakai cincin dan gelang pun, kami pastikan mereka tidak memakainya takut mencemari makanan,” jelasnya.

Mengulas pemilikan sijil halal Kafe Shukie, Daud berharap pihak pengurusan Shukie terus mematuhi syarat-syarat dipersetujui dan beliau juga yakin perniagaan kafe berkenaan akan terus berkembang dengan pemilikan sijil itu.

Menurutnya, di Sarawak perniagaan syarikat dan organisasi yang memiliki  sijil halal berjaya berkembang sekurang-kurangnya 25 peratus.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan derma berjumlah RM10,000 oleh Kafe Shukie kepada Kompleks Kebajikan Hamidah Miri.

Advertisement