Anda di sini

KRT perlu menyimpan data mengenai kawasan mereka

Advertisement

MIRI: Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu menyimpan data mengenai kawasan mereka bagi memudahkan kerajaan menyalurkan pembangunan, kata Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata data itu penting untuk membolehkan kerajaan menambah baik kemudahan serta mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi penduduk kampung.

“KRT memainkan peranan penting dalam mengumpul maklumat yang diperlukan kerajaan.

“Mereka umpama mata dan telinga kerajaan. Justeru, saya berharap KRT terus memainkan peranan aktif dalam menyalurkan maklumat kepada kerajaan,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Silaturahim Perpaduan 2014 anjuran KRT Kampung Pujut Tanjung Batu, Miri di sini malam kelmarin.

Hadir sama Pegawai Penerangan dan Publisiti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Negeri Datuk Sebastian Ting.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, jawatankuasa KRT juga penting dalam memastikan perpaduan dan keselamatan kawasan masing-masing.

Beliau turut memuji Jawatankuasa KRT Pujut Tanjung Batu mengadakan majlis itu dan berharap mereka dapat mengadakan lebih banyak aktiviti tahunan yang memberi manfaatkan kepada penduduk setempat.

Pada majlis sama, Lee turut mengumumkan geran RM5,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Jiran Muda.

Beliau turut menyampaikan sijil pelantikan dan penghargaan kepada ahli yang berkhidmat secara sukarela khususnya anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kepada 10 penerima.

Sementara itu, majlis tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim dan kerjasama KRT dengan pemimpin, penduduk dan agensi-agensi pertubuhan.

Advertisement