Anda di sini

Kesederhanaan bukan sahaja penting untuk pembuat keputusan, kata menteri Oman

Advertisement

KUALA LUMPUR: Konsep kesederhanaan atau wasatiyyah yang dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja perlu menjadi amalan para pembuat keputusan, tetapi juga orang ramai, kata Menteri Penerangan Oman Dr Abdulmunim Mansour Said Al-Hasani.

Beliau juga menegaskan bahawa kesederhanaan adalah antara konsep paling penting dalam Islam.

“Sebagai contoh, tahap sejauh mana saya patut terima anda, walaupun anda tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan. Sekurang-kurangnya ada suatu peringkat di tengah-tengah yang boleh kita kongsi bersama,” katanya pada Jumaat selepas melakukan lawatan ke ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini.

“Saya amat sedar tentang perkara yang dianjurkan oleh Malaysia ini dan sebagai dunia Islam, kita amat perlu mengamalkan konsep tersebut, yang sebenarnya telah menjadi amalan di negara kami,” katanya.

Beliau juga memuji media Malaysia kerana berjaya mempamerkan teladan baik tentang Islam kepada dunia.

Dr Abdulmunim berkata beliau mempelajari daripada media Malaysia dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “tentang cara untuk kita menghidangkanIslam sebagai suatu tamaddun manusia kepada orang lain.”

Dalam lawatan itu, Dr Abdulmunim diiringi Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan-timbalan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) dan Ahmad Zukiman Mohamed Zain (Perkhidmatan Berita Antarabangsa).

Najib pertama kali mencadangkan amalan konsep kesederhanaan di Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2010 apabila beliau menggesa dunia berusahamembentuk Pergerakan Kesederhanaan Global melibatkan penganut semua agama yangkomited untuk bekerjasama memerangi dan mengetepikan puak pelampau yang mengugut dunia melalui sikap taksub dan berat sebelah mereka. — Bernama

Advertisement