Anda di sini

Fadzley ‘bungkam’ Kelantan

Advertisement

Pamer aksi hebat bantu Sarawak menang 1-0 ledakan Ryan di Kota Bahru malam kelmarin

KUCHING: Sarawak harus berterima kasih kepada penjaga gol pilihan kedua, Mohd Fadzley Rahim setelah mempamerkan aksi bertaraf bintang ketika membantu membenam Kelantan dengan 1-0 pada perlawanan Liga Super 2014 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Malah, jurulatih sementara Kelantan, Hashim Mustapha turut memuji ketangkasan Mohd Fadzley yang banyak menggagalkan serangan anak-anak buahnya sepanjang perlawanan itu.

Gol kemenangan Sarawak dijaringkan oleh penyerang import dari Australia, Ryan Alan Griffiths pada minit ke-51 setelah pantas merampas bola yang gagal dikeluarkan dengan kemas oleh pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri sebelum melambung tepat ke gawang lawan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan yang mahu memadam duka selepas tewas 0-4 di tangan Sime Darby pada Selasa lalu menurunkan kesebelasan terbaik mengasak kubu Sarawak sepanjang perlawanan menerusi rangkaian penyerang Forkey Doe, Mohamad Ghaddar dan Brendan Gan.

Peluang terbaik mereka muncul seawal minit keenam menerusi gerakan cantik Ghaddar namun sepakannya mudah ditangkap kemas oleh Mohd Fadzley.

Sementara pada minit ke-15, giliran Forkey menguji ketangkasan Fadzley menerusi rembatan kencang dari luar petak penalti namun masih gagal menerjah jaring pasukan pelawat (Sarawak).

Strategi Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts dengan memasukkan Muamer Salibasic bagi menggantikan Joseph Kalang Tie pada separuh masa kedua ternyata berhasil apabila gandingan kedua-dua pemain itu mampu mengkucar-kacirkan pertahanan Kelantan.

Hasilnya, gerakan satu dua kedua-dua pemain itu berjaya meletakkan Sarawak di hadapan menerusi jaringan Ryan pada minit ke-51.

Pada minit ke-70, Mohd Fadzley sekali lagi menyebabkan penyokong Kelantan menggigit jari apabila berjaya menampan keluar bola tandukan cantik Forkey Doe.

Usaha terakhir Kelantan untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan juga punah apabila sepakan percuma kapten Mohd Badhri Radzi sekadar mengena pertahanan Sarawak.

Kemenangan ketiga berturut- turut Sarawak itu melonjakkan mereka ke tangga keempat setakat ini dengan mengumpul 22 mata.

“Kita berjaya bermain mengikut pelan yang telah dirancang terutamanya dalam mengekang asakan pasukan lawan,” kata Alberts ketika mengulas perlawanan itu semalam.

“Sekalipun keletihan kerana jadual perlawanan yang ketat, pemain-pemain kita tetap menunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan dan ia cukup membanggakan saya,” katanya gembira Bagaimanapun, Alberts berpendapat Kelantan sepatutnya memenangi perlawanan itu kerana banyak mendominasi permainan.

Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan persembahan Mohd Fadzley yang berjaya mematahkan deretan asakan barisan pasukan Kelantan.

Sarawak akan meneruskan perjuangan pada kancah Liga Super 2014 dengan menentang KL Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur pada 10 Mei depan.

Advertisement