Anda di sini

Buruh wanita kerah tenaga untuk bantu tambah pendapatan keluarga

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Berpanas dan mengangkat benda berat sudah menjadi kebiasaan bagi Claudinina Denis yang bekerja sebagai buruh binaan demi membantu menambah pendapatan keluarganya.

Wanita yang baru mencecah usia 20 tahun dari Siburan itu terpaksa bekerja keras untuk membantu suaminya yang juga bekerja sebagai buruh binaan.

“Tolong suami untuk menambah pendapatan keluarga kerana kos hidup sekarang sudah meningkat, terpaksa kami berdua bekerja bagi memberi kehidupan yang selesa kepada anak kami,” katanya ketika ditemui di sebuah tapak pembinaan di sini semalam.

Claudinina yang mempunyai seorang anak berusia lima bulan memberitahu, meskipun penat kerana terpaksa mengangkat barang yang berat, namun demi keluarga semua itu diketepikan.

“Saya diberi gaji hari, sehari dibayar dalam RM25, kalau sering hujan pendapatan sebulan pun kurang,” tambahnya.

Malah katanya, disebabkan keadaan cuaca, dia dan suaminya pernah mengalami masalah kewangan kerana gaji tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan seharian.

“Namun keadaan sudah menjadi lumrah hidup dan terpaksa ditempuhi,” katanya lagi sambil berharap suatu hari nanti kehidupannya berubah.

Manakala menurut seorang lagi buruh wanita yang hanya dikenali dengan panggilan Agata, 23, dari Sri Aman, dia bekerja di tapak binaan itu sudah selama enam bulan.

“Mengangkat bata, simen dan berpanas sudah menjadi biasa bagi saya, walaupun sukar tetapi terpaksa kerana mencari wang bagi menambah pendapatan suami,” katanya.

Sementara itu, rakan sekerja kedua-dua wanita itu, Watson Lemban, 24, dari Saratok berkata dia meluahkan rasa kagum melihat kegigihan Claudinina dan Agata mencari rezeki.

Dia yang berhijrah jauh dari kampung halamannya untuk mencari rezeki bagi membantu menambah pendapatan keluarganya.

“Saya bekerja buruh sejak berusia 17 tahun sebaik sahaja tamat sekolah, mereka berdua amat gigih bekerja untuk menambah pendapatan keluarga walaupun mereka wanita,” ujarnya.

Advertisement