Anda di sini

120 pemain bakal berentap pada Kejohanan Tenis Antara Bahagian

Advertisement

MIRI: Seramai 120 pemain tenis dijangka berentap pada Kejohanan Tenis Antara Bahagian pada 10 hingga 14 Mei depan di Kompleks Tenis Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Miri.

Kejohanan lima hari anjuran bersama Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) dan Persatuan Tenis Bumiputera Miri (PTBM) itu bakal menyaksikan pemain tenis dari seluruh Sarawak merebut gelaran juara individu dan berkumpulan.

“120 pemain dari seluruh pelosok Sarawak iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu, Mukah, Bintulu, Limbang, Betong dan Miri akan mengambil bahagian,” kata Setiausaha PTBS Cawangan Miri Mohd Zaidi Adrus Razali kepada Utusan Borneo.

Objektif kejohanan, katanya, adalah untuk mempromosikan Miri sebagai Bandar Raya Peranginan di samping mencungkil bakat-bakat muda untuk mewakili Sarawak dalam arena berkenaan.

Hadiah-hadiah menarik juga turut disediakan bagi kedua-dua kategori dipertandingkan.

Juara kumpulan, kata beliau, bakal mendapat wang tunai sebanyak RM3,000, RM2,000 untuk naib johan manakala RM700 untuk yang berjaya ke separuh akhir dan RM200 kepada yang berjaya ke suku akhir.

Sementara bagi kategori individu, ia dibahagikan kepada tiga lagi subkategori iaitu perseorangan, veteran perseorangan dan beregu.

Untuk ketiga-tiganya, juara bakal membawa wang tunai RM500, diikuti RM300 tempat kedua, RM150 kepada yang berjaya ke separuh akhir dan kepada yang berjaya ke suku akhir bakal dihadiahkan RM50.

Beliau memberitahu pemain yang berminat untuk mewakili PTBM supaya menghubungi beliau sendiri di talian 013-8342564.

Advertisement