Anda di sini

Pemimpin berlainan parti politik beri penghormatan terakhir

Advertisement

GEORGE TOWN: Pemimpin-pemimpin parti politik tidak kira bangsa dan agama terus mengunjungi kediaman mendiang Karpal Singh di sini semalam untuk memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid, Naib Presiden PKR Azmin Ali serta beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional.

Nancy ketika ditemui pemberita, berkata Karpal Singh merupakan seorang pemimpin yang tegas dan peguam yang komited dalam menegakkan keadilan.

“Kali terakhir saya bertemu mendiang ialah ketika perbahasan persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini,” kata Nancy yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong, Sarawak.

Sementara itu, Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar pula menyifatkan pemergian Karpal Singh sebagai kehilangan besar kepada negara.

“Karpal merupakan seorang peguam yang beretika dan sangat berpegang kepada prinsip yang harus dicontohi oleh semua peguam dan sebagai ahli politik, beliau adalah seorang yang profesional dan tidak sesekali membuat serangan peribadi,” katanya.

Azmin yang turut ditemui di kediaman Karpal Singh berkata mendiang merupakan seorang mentor yang sentiasa membantu orang yang kurang berkemampuan.

“Beliau merupakan seorang ikon yang tiada pengganti dan pemergian beliau bukan sahaja satu kehilangan besar kepada Pakatan (Rakyat) tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Karpal Singh maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan sebuah lori di Km306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurong di Kampar, Perak awal pagi kelmarin.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya Michael Cornelius, 39. — Bernama

Advertisement