Anda di sini

Nozula stabil di Hospital Raja Permaisuri Bainun

Advertisement

IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang terlibat dalam kemalangan jalan raya kelmarin berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), namun kecederaan yang dialaminya dianggap serius oleh pasukan perubatan.

Pakar Bedah HRPB, Dr Basel Ebernesan yang merawat beliau berkata Nozula mengalami kecederaan serius iaitu lebam di paru-paru selain tujuh tulang rusuknya, enam di bahagian kanan dan satu di kiri patah.

“Masih awal untuk jangka keadaan pesakit. Kita tempatkan beliau di wad ‘medical high dependency unit’ dan menerima rawatan ubat tahan sakit supaya beliau boleh berehat untuk pulih lebih cepat. Pesakit tidak dibantu dengan alat pernafasan, beliau bernafas secara normal,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata pihaknya perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta membuat pemantauan rapi selain melihat perkembangan Nozula untuk beberapa hari lagi memandangkan kecederaan paru-parunya menyukarkan jangkaan kerana boleh bertukar baik atau buruk di samping menghadapi jangkitan.

Bahagian otak dan anggota badan pesakit adalah baik dan rawatannya juga dibantu oleh pakar bius dan ahli fisioterapi dada, tambahnya.

Kemalangan yang menimpa Nozula berlaku kira-kira jam 6.30 petang di Km23, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai ketika Nozula dan keluarganya dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Cheras, Kuala Lumpur.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu anak perempuannya dipercayai terbabas kerana jalan licin sebelum merempuh tebing bukit yang menyebabkan isterinya Datin Maziah Din maut dan anak lelakinya yang dikenali sebagai Fikri, 19, cedera di bahu dan dirawat di Hospital KPJ di sini.

Dr Basel berkata sehingga kini Nozula belum mengetahui kematian isterinya.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melawat Nozula berkata beliau menerima berita tentang kejadian itu tengah malam kelmarin.

“Beliau perlu rehat. Apabila saya sampai tadi (kelmarin), beliau buka mata dan beliau kenal saya apabila saya bertanya kepadanya. Saya meminta beliau berehat,” katanya yang mengenali Nozula sejak 20 tahun lepas. — Bernama

Advertisement