Anda di sini

LHDN wujud program pantau pembayar cukai gagal patuh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkenalkan Program Pemantauan Pembayar Cukai Gagal Patuh (MDTD) bermula tahun ini bagi memperkasa dan menambah keberkesanan aktiviti audit cukai sedia ada.

LHDN menerusi satu kenyataan di sini semalam  memaklumkan MDTD diwujudkan bagi memantau pembayar cukai yang dikenal pasti gagal patuh dengan undang-undang serta peraturan cukai.

“Selain itu ia juga bertujuan menggalakkan pematuhan cukai secara sukarela melalui aktiviti pendidikan dan pemantauan yang berterusan,” menurut kenyataan itu.

Konsep dan pelaksanan program tersebut termasuk menyenarai pembayar cukai yang gagal patuh dalam MDTD untuk tujuan pemantauan berterusan dan sekiranya mereka masih gagal patuh setelah diberi penerangan serta pendidikan, tindakan audit yang lebih menyeluruh akan dikenakan ke atas pihak terbabit.

“Pembayar cukai akan diberi surat makluman rasmi mengenai penyenaraian nama mereka dalam MDTD dan penalti 100 peratus daripada jumlah cukai yang terkurang lapor akan dikenakan mengikut subseksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata kenyataan tersebut.

Menurut LHDN pembayar cukai akan dikeluarkan daripada senarai MDTD jika pemantauan mendapati mereka tidak lagi melakukan kesalahan dalam tahun-tahun taksiran berikutnya.

“LHDN berharap program tersebut mampu memupuk kesedaran yang lebih tinggi dan meningkatkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pembayar cukai,” kata kenyataan itu.

LHDN memaklumkan sebanyak 121 kes disenaraikan dalam MDTD bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mac 2014.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai hal ehwal percukaian boleh menghubungi Pusat Penggilan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau layari www.hasil.gov.my. — Bernama

Advertisement