Anda di sini

Kenyataan provokatif tidak wajar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kenyataan bersifat sensitif dan provokatif terhadap kematian Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh adalah amat tidak wajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata kenyataan seumpama itu hanya memburukkan lagi keadaan ketika rakyat Malaysia sedang dalam proses menyuburkan perpaduan antara kaum.

“Walaupun mereka ingin memperoleh kepentingan politik… jangan peralatkan kedudukan yang cukup sedih ini dan jangan peralatkan agama untuk kepentingan politik.

“Semua orang harus mengelakkan membuat kenyataan yang menyedihkan kerana kita harus hormat mereka (anggota keluarga) yang memang berada dalam keadaan begitu sedih sekali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis bersama Media Portal dan Online di sini semalam.

Karpal, 74, yang juga bekas pengerusi DAP, dan pembantu peribadinya meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi kelmarin apabila kenderaan serbaguna (MPV) Toyota Alphard yang dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak.

Terdahulu, Kurup, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Sabah, berkata media perlulah memainkan peranan yang berkesan dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat, khususnya dalam perkara berkaitan perpaduan dan integrasi nasional.

“Sebagai rakan, media terutamanya media portal dan online bertanggungjawab menyampaikan mesej secara jujur dan berkesan kepada rakyat dalam memastikan usaha penyatuan nasional kerajaan berjaya.

“Penjelasan yang tepat mengenai apa jua dasar dan isu sewajarnya disalurkan dengan lebih berkesan agar tidak berlaku salah anggap, terutamanya dalam isu seperti penggunaan kalimah ‘Allah’, penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara dan sebagainya,” katanya. — Bernama

Advertisement