Anda di sini

Sarawak berhak menang

Advertisement

AKSI MANTAP: Sebahagian daripada aksi-aksi menarik perlawanan Liga Super di antara Sarawak dan ATM di Stadium Negeri , malam kelmarin. — Gambar Chimon Upon

Misi Ngap Sayot membalas dendam terhadap The Gladiators tercapai dengan kemenangan 3-2

KUCHING: Misi Sarawak untuk membalas dendam terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tercapai dengan kemenangan 3-2 pada perlawanan yang penuh dramatik di Stadium Negeri malam kelmarin.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Sarawak di tangga ketujuh Liga Super dengan mengutip 19 mata setelah mengharungi 13 perlawanan.

Tuan rumah bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan ATM menerusi sepakan percuma penyerang Juan Manuel Arostegui pada minit ke-33.

Gol itu tidak mematahkan semangat pemain Sarawak dengan jentera serangan yang diketuai Joseph Kalang Tie dan Ryan Alan Griffiths terus berusaha mencari gol penyamaan.

Pemain tengah Junior Eldstal berjaya menjaringkan gol pertama untuk Sarawak pada musim ini sekali gus mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-44.

Beliau menerima umpanan cantik dari Ryan sebelum mudah menolak bola ke sudut kanan pintu gol ATM bagi menewaskan Syed Adney Syed Hussein.

Sarawak terus garang mencari jaringan tambahan sebaik babak kedua bermula.

Pada minit ke-61, gawang skuad The Gladiators sekali lagi cemas menerusi rembatan kencang Joseph yang ditampan keluar oleh penjaga gol ATM.

Gol kedua Sarawak menjelma dua minit kemudian hasil rembatan kencang S Chanturu setelah berjaya mengelirukan Syed Adnan dalam petak penalti.

Sarawak terus selesa di hadapan pada minit ke-70 setelah pertahanan pelawat Nor Fazly Alias tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mematahkan hantaran jauh Shahrol Saperi.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan selama tiga minit apabila giliran ATM menjaringkan gol kedua menerusi Christie Jayaselan.

Ryan mempunyai peluang keemasan untuk menambah jaringan pada minit ke-74 namun sepakannya berjaya ditepis keluar oleh Syed Adnan.

Pemain gantian Hassan Mohamed hampir memastikan Sarawak menang bergaya namun kuisan dihalang oleh penjaga gol.

Kemasukan Muamer Salibasic pada minit terakhir menggantikan S Chanturu tidak mengubah kedudukan bagi memastikan Sarawak mengutip tiga lagi mata berharga.

“Kita berhak menang pada perlawanan tersebut kerana pemain telah menampilkan permainan yang cukup baik,” menurut Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts ketika mengulas perlawanan itu kelmarin.

“Namun, kredit juga untuk ATM yang memperagakan semangat melawan yang cukup tinggi.”

Menurut Alberts, Sarawak sepatutnya menang dengan jaringan yang lebih besar namun beberapa peluang terbaik gagal disempurnakan pemain kerana keletihan.

“Apa yang penting, kita berjaya memungut tiga mata berharga bagi membuka kembali peluang dalam saingan liga yang semakin rancak.”

Sarawak akan menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohamad Ke IV esok.

Advertisement