Anda di sini

Lelaki terkena tembakan pernah cuba ditembak di tempat sama 18 Mac lepas

Advertisement

SIBU: Lelaki yang terkena tembakan di Lorong 4, Jalan Then Kung Suk pagi kelmarin memberitahu dia pernah cuba ditembak di tempat dan masa yang sama pada 18 Mac lepas.

Namun, beliau yang ketika itu juga menunggang motosikal bernasib baik kerana tembakan itu tersasar sedikit dan meninggalkan parut di kiri lehernya.

Menurut mangsa, dia tidak membuat laporan polis selepas cubaan membunuhnya itu gagal ketika itu.

Mangsa, Yii Ko Hong, 31, mempunyai rekod jenayah lampau termasuk membakar rumah ibu mentua di Bintulu sebelum dijatuhkan hukuman penjara selama setahun lapan bulan di Penjara Limbang.

Selain itu, Yii juga pernah terlibat dalam beberapa kes curi motosikal dan kes berkaitan dengan penyalahgunaan dadah sejak 2003 hingga 2012.

Dalam kejadian pada jam 7.30 pagi itu mangsa sedang menunggang motosikal menuju ke tempat kerjanya di sebuah kilang di situ.

Selepas terkena tembakan di bahu dan lengan dari arah belakang, mangsa sempat menunggang motosikalnya ke kawasan kilang sebelum terduduk menahan kesakitan.

Yii kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Advertisement