Anda di sini

Cubaan dua lelaki pecah masuk rumah gagal, seorang dicekup

Advertisement

BINTULU: Cubaan dua lelaki untuk memecah masuk sebuah rumah tidak kesampaian apabila seorang daripadanya berjaya diberkas polis di kawasan perumahan Sungai Plan awal pagi semalam.

Kejadian itu berlaku sekitar jam 3.15 pagi apabila sepasukan polis dari Balai Polis Kidurong yang sedang dalam tugas rondaan biasa di kawasan perumahan terbabit ternampak dua lelaki sedang cuba mengumpil jeriji pintu sebuah rumah di situ.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata, hasrat dua lelaki terbabit tidak kesampaian apabila pihak polis bertindak pantas menahan suspek yang cuba melarikan diri.

“Seorang berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek dapat meloloskan diri,” ujar-nya pada sidang media di Pusat Sehenti Polis semalam.

Madang berkata, dengan penahanan seorang suspek itu, polis turut merampas sebuah bateri kereta, satu pemotong besi sepanjang tiga kaki, pemutar skru dan peralatan lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Beliau berkata, suspek yan ditangkap itu merupakan penduduk tempatan berusia 26 tahun.

“Kami telah memohon taha-nan reman ke atas suspek terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah dua suspek terbabit menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang mana turut dirampas oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda.

Advertisement