Anda di sini

200 pemain akan catat rekod alunkan muzik sape selama 15 minit

Advertisement

MIRI: Seramai 200 pemain akan mengalunkan muzik sape selama 15 minit pada 17 Mei nanti untuk mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MYBOR).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai memberitahu, kerjasama pihaknya dengan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Kebangsaan (FORUM) itu bakal memeriahkan sambutan Hari Bandar Raya Miri nanti.

“Gabungan persatuan sembilan etnik Orang Ulu akan menjayakan majlis itu nanti bermula jam lima petang,” katanya dalam satu sidang media di bilik mesyuarat MBM semalam.

Menurutnya, keunikan majlis pecah rekod itu akan turut mempromosikan bandar raya ini sempena Tahun Melawat Malaysia.

Sementara itu, penasihat majlis berkenaan Senator Lihan Jok pula mengesahkan bahawa pihaknya akan memainkan muzik sape tradisional.

“Kami akan memainkan alunan muzik sape tradisional selama 15 minit pada cubaan memecah rekod nanti,” jelasnya.

Pihaknya juga bakal bekerjasama dan menerima cadangan daripada Kementerian Pembangunan Sosial pada majlis itu.

Tetamu kehormat yang bakal menyaksikan majlis bersejarah tersebut adalah Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Selain majlis cubaan memecahkan rekod MYBOR, beberapa majlis turut diadakan pada tempat sama iaitu di tempat parkir pusat beli-belah Boulevard iaitu pelancaran Miri Community Walk, Ekspo Makanan Etnik Sarawak, Ekspo Hijau dan beberapa aktiviti muzikal pada sebelah malamnya.

Advertisement