Anda di sini

15 motosikal disyaki curi dirampas polis

Advertisement

SIBU: Sebanyak 15 buah motosikal dipercayai motosikal curi dirampas oleh pasukan polis dalam satu serbuan di sebuah kawasan estet pembinaan kapal di Rantau Panjang petang semalam.

Setelah pemeriksaan dilakukan oleh pasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Mohd Firdaus Safuan, lapan daripada motosikal tersebut dilaporkan hilang di Sibu, manakala sebuah dilaporkan hilang di Kluang, Johor pada 4 November 2004.

Polis percaya kehadiran mereka dihidu oleh beberapa orang pekerja warga Indonesia yang berada di hostel di situ yang mungkin telah memaklumkan kepada rakan-rakan di kilang untuk menyembunyikan motosikal-motosikal mereka.

Ini kerana polis mendapati tiga motosikal disembunyikan di dalam sebuah kontena di kawasan kilang yang terletak kira-kira 300 meter dari hostel pekerja.

Dua buah motosikal juga ditemui di dalam semak manakala selebihnya disembunyikan di dalam kilang.

Beberapa pekerja warga Indonesia hanya memberitahu mereka tidak tahu pemilik sebenar motosikal yang telah dijumpai oleh polis ketika itu.

Serbuan yang bermula pada jam 12.30 tengah hari tersebut berakhir pada jam 3 petang.

Advertisement