Anda di sini

KDN pertimbang perluas penggunaan senjata api bagi menangani PTI

Advertisement

WAN Junaidi (tengah) menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada salah seorang penerima dalam majlis itu di Kampus Institut Tadbiran Awam Negara.

Ambil kira kepentingan ketika bertugas: Wan Junaidi

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan untuk memperluas penggunaan senjata api di kalangan anggota dan pegawai Imigresen ketika melakukan operasi atau serbuan bagi menangani kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, perkara itu akan diperhalusi sejauh mana kepentingannya dalam melaksanakan tugas seharian khususnya di Sabah.

“Saya baru-baru ini telah membangkitkan perkara itu di dalam dewan supaya dibenarkan (mengguna senjata api)  kepada agensi-agensi lain.

“Tetapi dalam keadaan sedemikian, kita belum memikirkan oleh kerana agensi-agensi yang dipersetujui oleh Parlimen untuk membawa senjata api sudah dikenal pasti seperti polis, tentera dan kastam.

“Namun agensi-agensi lain (termasuk Imigresen) akan dilihat dari segi keperluannya. Jika mereka memikirkan perkara itu adalah amat penting untuk melaksana tugas maka saranan akan dilakukan kepada pihak kerajaan sebelum ia dipertimbangkan,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui cabaran setiap agensi di bawah KDN mengenai tahap keselamatan rakyat menghadapi isu PTI di negeri Sabah dilihat lebih kompleks berbanding Semenanjung Malaysia.

“Elemen di Sabah ini lebih kompleks berbanding di Semenanjung di mana kemasukan warga Filipina boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Sehubungan itu, semua agensi di bawah kerajaan dan di dalam KDN sendiri harus memainkan peranan amat penting demi keselamatan rakyat di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang bagi Jabatan Imigresen Sabah dan Labuan di Kampus Institut Tadbiran Awam Negara, di sini kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiuasaha Bahagian Operasi KDN Datuk Wahab Mohd Yasin dan Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Noor Alam Khan.

Sementara itu, pada sidang media yang sama Wan Junaidi berkata, sebuah pasukan elit Grup Taktikal Khas (GTK) dalam Jabatan Imigresen akan diletakkan di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, setakat ini GTK hanya diwujudkan di Negeri Sembilan sebelum ia diperkembangkan ke negeri-negeri lain termasuk Sabah.

“Sebagai kerajaan, kita akan sentiasa melihat keperluan dan akan menyokong dengan membantu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri terutama dalam pemberian aset, kemudahan dan jumlah anggota tertentu yang diperlukan mereka,” katanya.

Katanya, permohonan bagi menubuhkan unit seperti itu akan disegerakan dalam menangani kejadian tidak diingini seperti (pencerobohan dan penculikan) berulang di negeri ini.

Advertisement