Anda di sini

PPM Tawau gagalkan lapan percubaan seludup

Advertisement

PELBAGAI barangan yang dirampas seperti minuman keras dan minyak masak.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan lapan cubaan penyeludupan keluar-masuk tanpa melalui pintu rasmi di daerah ini membabitkan pelbagai jenis barangan yang ditaksirkan bernilai kira-kira RM58,000.

Komander PPM (Wilayah 4) Sabah ACP Mohammad Madun berkata, kejayaan itu direkodkan dalam tempoh dua hari oleh pasukannya iaitu pada Sabtu dan Ahad lepas.

“Antara yang dirampas termasuklah 3,342kg gula pasir, 705kg minyak masak, 5,400 sosej, 60 ekor ayam hidup, 280kg tepung murai dan 375 liter minyak diesel.

“Kita juga berhasil merampas 12 unit tong gas Petronas (14kg) serta minuman keras pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan media di sini kelmarin.

Mohammad berkata, minuman keras itu adalah Labour (11 botol X 500ml), Red Bull (27 botol X 700ml dan 27 botol X 175ml), Danish Royal Stout (216 tin x 320ml) dan Carlsberg Pilsner Beer (24 tin x 330ml).

Katanya, enam daripada lapan kes terbabit diperiksa di Jeti Pangkalan PPM Tawau manakala dua lagi pemeriksaan dijalankan di kawasan laut Sg Melayu.

“Anggota pasukan kita yang menjalankan tugasan Op Paradise menahan lima feri penumpang yang baharu berlepas dari Pelabuhan Tawau dan dua lagi feri yang baharu tiba dari Nunukan.

“Manakala dua lagi kes melibatkan pemeriksaan di dua buah bot jongkong,” katanya sambil mengesahkan kesemua barang yang dirampas didapati tidak memiliki surat kastam.

Beliau berkata siasatan untuk kes-kes terbabit dibuka mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 3 Ordinan Haiwan 1962.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan daripada pasukannya itu diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan susulan.

“Kita memandang serius segala aktiviti penyeludupan melibatkan sebarang jenis barangan keluar-masuk antara Malaysia dan Indonesia, justeru Op Paradise akan terus digiatkan,” katanya.

Mohammad menegaskan tumpuan diberikan terhadap kawasan-kawasan yang dikenalpasti melalui risikan dan intipan PPM Tawau dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan.

Advertisement