Anda di sini

Polis Marin rampas batu karang 20 tan bernilai RM1.2 juta

Advertisement

HAMZA (dua kanan) berdiri di atas kulit kima yang dirampas.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin berjaya merampas sejumlah 20,000 kilogram kulit kima yang telah menjadi batu karang bernilai kira-kira RM1,200,000 dalam Ops Cantas Laut baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya menangkap seramai sembilan orang pekerja berketurunan Vietnam berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, tangkapan berkenaan adalah tangkapan kali pertama di Sabah, yang mana selama ini pihaknya jarang mendapat berkas kumpulan sedemikian.

Katanya, walaupun ia adalah tangkapan yang pertama tetapi pastinya golongan berkenaan sudah lama melakukan aktiviti itu.

“Pada 10 April kira-kira jam 10.30 pagi, sepasukan anggota Polis Marin yang membuat rondaan menggunakan bot ronda jenis RHFB 29 di kawasan perairan Pulau Mengalum telah menahan dan memeriksa sebuah kapal nelayan milik syarikat SK Fishing Enterprise Sdn Bhd yang sedang menjalankan aktiviti memungut kulit kima.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan kerja pemungutan itu tanpa permit atau lesen yang sah. Dalam bot berkenaan juga terdapat beberapa kepingan kulit kima yang sudah menjadi karang,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Hamza berkata, berdasarkan lesen yang ditunjukkan bot berkenaan sebenarnya menjalankan aktiviti penangkapan ikan jenis rawai.

“Tanpa pengetahuan pemilik sebenar bot atau kapal berkenaan, mereka yang juga pekerja bot terbabit akan mencari kawasan perairan yang cetek di mana terdapatnya longgokan kulit-kulit kima yang telah lama dan menjadi batu karang.

“Hasil pungutan itu akan dijual ke negara jiran iaitu Vietnam sama ada secara terus atau melalui kapal-kapal peraih yang melalui kawasan perairan ini,” katanya.

Katanya, pada kebiasaannya hasil pungutan itu akan dijadikan sebagai ubat-ubatan tradisional serta barangan kosmetik, ia juga dijadikan sebagai barangan perhiasan.

Hamza berkata, kesalahan berkenaan adalah mengikut Seksyen 168 Ordinan Tanah Sabah (CAP 68) iaitu mengambil dan mengangkat khazanah laut (Spesis Batu Karang) tanpa kebenaran daripada kerajaan negeri.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Polis Marin untuk tindakan lanjut dan dirujuk kepada Jabatan Tanah dan Ukur.

Dalam pada itu, Hamza turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan pulau agar tidak bersekongkol mahupun bekerjasama dengan pihak sedemikian bagi menjaga khazanah laut yang ada.

“Jika dihitung, sembilan daripada 10 spesis kima yang ada di muka bumi terletak di perairan Sabah dan sekiranya aktiviti sebegini tidak ditumpaskan maka kita akan kehilangan salah satu khazanah yang bernilai,” katanya.

Advertisement