Anda di sini

Jom sertai cabaran berakit Batang Sadong/Sungai Kayan Serian 2014

Advertisement

SERIAN: Cabaran Berakit (dikenali Bilanting) Batang Sadong/Sungai Kayan Serian 2014 menyasarkan golongan pelancong dalam dan luar negara sebagai satu cara mempopularkan daerah berkenaan.

Pengerusi acara yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Kebudayaan dan Sukan Majlis Daerah Serian (MDS), Kaunselor Stanley Sila berkata pihaknya menyasarkan pertambahan 70 ke 80 penyertaan bagi penganjuran kali keempat program itu.

“Kali ini kita mahu melihat lebih banyak penglibatan dari Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, begitu juga pelancong asing atau ‘backpackers’ serta agensiagensi termasuk hotel dan pelancongan,” katanya pada sidang media Cabaran Berakit Batang Sadong/Sungai Kayan Serian 2014 di sini semalam.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan pihaknya mendapat penyertaan 50 ke 60 pasukan selepas tiga kali penganjurannya.

Justeru, mencari kelainan dari segi pertambahan jumlah penyertaan pasukan pada penganjuran kali ini sejauh 25 kilometer bermula dari Kampung Tema Mawang, Tebedu dan berakhir di Tebakang Bazar.

Kategori dipertandingkan ialah lelaki dan wanita terbuka, jabatan kerajaan dan hotel serta agensi pelancongan dengan yuran peryertaan RM100 satu pasukan.

“Peserta harus berumur 18 tahun ke atas dengan empat orang dalam satu pasukan yang akan menerima sijil penyertaan dan perlindungan insurans sewaktu pertandingan dijalankan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben bakal melakukan perlepasan manakala perasmian dilakukan Menteri Infrastruktur dan Perhubungan juga ADUN Tebedu, Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem hadir pada hari kedua.

Hadiah juara menerima wang tunai RM1,500, naib juara meraih RM1,200, tempat ketiga RM900 (tempat keempat hingga ke-10 mendapat RM250 berserta trofi.

Rekaan rakit tercantik akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM250.

Tarikh tutup penyertaan selewat-lewatnya pada 2 Mei depan dan hantar penyertaan ke MDS, No.1 Jalan Bunga Tanjung, 94700 Serian atau pendaftaran atas talian di www.seriandc.sarawak.gov.my atau juga menelefon 082- 875153/874154/874155 dan faks 082-874799.

Advertisement