Anda di sini

Empat lagi awak-awak asing diberkas

Advertisement

BOT pam yang dinaiki keempat-empat suspek turut ditahan.

Cuba lolos keluar dari negara ini melalui SempornaTAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan suspek awak-awak warga asing ‘mencuri-keluar’ dari negara ini melalui Semporna.

Pengarah Operasi APMM Tawau, Komander (M) Azman Samsudin berkata kapal peronda APMM menahan bot pam mereka kira-kira 3.2 batu nautika arah Tenggara Pulau Mataking.

“Mereka diberkas kira-kira jam 4 petang Sabtu lepas,” katanya menerusi kenyataan medianya di sini kelmarin sambil mengesahkan empat suspek berusia 18-34 tahun berhasil ditahan.

Azman berkata kesemua suspek lelaki terbabit yang disyaki berketurunan Bajau dipercayai dalam perjalanan ke Filipina tanpa melalui pintu keluar-masuk yang sah di negara ini.

Menurutnya, suspek yang disyaki sebagai pendatang tanpa izin (PTI) itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.

“Kesemua mereka buat masa ini ditahan untuk siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sehubungan itu juga, beliau menegaskan APMM akan terus menjalankan pemantauan dari masa ke semasa untuk menyekat sebarang bentuk kegiatan jenayah di perairan Sabah.

Beliau berkata orang ramai perlu memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa melalui penyaluran maklumat mengenai sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan maklumat ataupun bantuan awam menerusi penyaluran info ke talian 999 atau talian bebas APMM Tawau di 089-752 115,” katanya.

Advertisement