Anda di sini

Tok Gajah ungguli persada Liga Super

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pahang membuktikan kecemerlangan apabila terus mendominasi Liga Super selepas menambah tiga mata penuh selepas mengalahkan T-Team 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam kelmarin.

Skuad Tok Gajah kini mengumpul 25 mata dengan kelebihan satu mata di hadapan pencabar utama iaitu Selangor yang menduduki tangga kedua carta liga.

Aksi cemerlang skuad kendalian Zainal Abidin Hassan sudah dijangka apabila Pahang berjaya membolosi gawang TTeam seawal minit kedua.

Jaringan pembukaan itu disempurnakan Matias Conti selepas menyudahkan bola lantunan daripada tiang gol, hasil sepakan percuma pemain tengah Mohd Hafiz Kamali, ditolak masuk ke gawang gol yang dikawal oleh Mohd Shahril Sa’ari.

Tersentak jaringan itu, T-Team yang dilatih Mohd Azraai Abdullah berusaha untuk membolosi gawang tuan rumah tetapi pertahanan kental menafikan peluang kelab Terengganu itu sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, pada minit ke-56, tandukan Azamuddin Mohd Akil memastikan kemenangan untuk pasukan Pahang.

Di Stadium Shah Alam, penyerang import Paulo Rangel menyelamatkan maruah Selangor dengan jaringan minit kelapan untuk menewaskan pasukan tercorot, Perak 1-0.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kelantan menepati ramalan apabila menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0.

Dua gol skuad ‘The Red Warriors’ itu dijaringkan oleh kapten Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-45 dan Francis Forkey Doe pada minit ke-83.

Di Stadium Jalan Besar, Sinagpura, Sime Daby melakukan kejutan apabila mengalahkan Lions XII 1-0.

Syukur Saidin menjadi wira pasukan Sime Darby apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir separuh masa pertama. — Bernama

Advertisement