Anda di sini

Pelaksanaan ‘School Of Construction’ dikaji

Advertisement

NKRA berhasrat mewujudkan industri pembinaan yang telus dan bebas daripada rasuah

KUALA TERENGGANU: Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bahagian Membanteras Rasuah sedang menyiapkan kertas kajian berhubung pelaksanaan ‘School Of Construction’ di negara ini bagi mewujudkan industri pembinaan yang telus dan bebas rasuah.

Pengarah NKRA (Membanteras Rasuah) Datuk Hisham Nordin berkata pihaknya mengambil contoh pelaksanaan program itu di Amerika Syarikat yang memberikan hasil positif kepada negara itu.

“Namun, kita perlu membentuk acuan kita sendiri mengikut kesesuaian dalam negara dan ini akan diperincikan kepada pelbagai aspek.

“Secara amnya, pelaksanaan dan mekanisme ini sudah  dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), namun masih banyak perkara yang boleh ditambah baik penguatkuasaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Forum ‘Mencerna Ekonomi Bebas Rasuah’ oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di sini, semalam.

Seramai 50 kontraktor menyertai forum itu yang dianjurkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu dan CIDB.

Hisham berkata melalui penguatkuasaan itu kelak, hanya kontraktor yang layak sahaja diberi projek dan akan dinilai oleh badan yang bertanggungjawab untuk memantau prestasinya.

“Sekarang ini, prosedur itu memang sudah ada tetapi melalui ‘School Of Construction’ yang akan tubuhkan kelak, pihak berkuasa boleh menyiasat dan menilai kemampuan syarikat berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai forum itu, beliau berkata ia adalah bukti keseriusan kerajaan dalam membanteras gejala rasuah di pelbagai peringkat termasuk syarikat berkaitan kerajaan. — Bernama

Advertisement