KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) bakal menghantar 20 atlet pelapis negara bagi menyertai Kejohanan Karate Asia Tenggara 2014 yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 16 April ini di bandar Can Tho, Vietnam.
Penolong Setiausaha Agung MAKAF, Osman Abdullah berkata mereka memutuskan untuk menghantar skuad pelapis pada edisi ketiga, tahun ini bertujuan mendedahkan atlet pelapis dengan kejohanan bertaraf antarabangsa, sekali gus dapat menimba pengalaman berguna.
“Walaupun kita hanya menghantar skuad pelapis tahun ini, namun saya optimis mereka mampu menghadiahkan pingat untuk kontinjen negara.
“Saya melihat prestasi atlet kita (ketika ini) sangat bagus dan potensi meraih pingat itu memang ada, namun yang penting bagi saya, mereka dapat menimba pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Osman berkata skuad pelapis kebangsaan telah menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) sejak beberapa bulan lepas di bawah kendalian jurulatih atlet kebangsaan, Andris Vasiljevs.
Katanya skuad kebangsaan akan menyertai 35 daripada 40 kategori dipertandingkan. — Bernama