Anda di sini

Junior Team terbukti unggul

Advertisement

TAHNIAH: Hoan menerima trofi cabaran dan replika cek bernilai RM12,000 daripada Morshidi (tengah) sambil diperhatikan tetamu lain.

Rangkul trofi Datuk Patinggi Dr Wong Soon Kai pada Kejohanan Golf KGS Team Matchplay

KUCHING: Junior Team membuktikan keunggulan apabila mengalahkan HGA 3-2 untuk merangkul trofi cabaran Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai pada Kejohanan KGS Team Matchplay di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini semalam.

Dengan kemenangan itu, Junior Team membawa pulang trofi cabaran, trofi individu dan wang tunai RM12,000 manakala HGA memenangi RM6,000 serta trofi.

Mafia Hukum pula menduduki tempat ketiga dan meraih wang tunai RM3,000 dan trofi.

Pengurus dan kapten Junior Team, Hoan Kee Hock melahirkan rasa bangga dengan kejayaan itu.

“Ini merupakan pertama kali pemain junior menyertai acara berpasukan. Biarpun sedikit gementar sepanjang kejohanan, pemain berjaya menampilkan persembahan terbaik pada perlawanan akhir,” katanya.

Menurutnya, persembahan pemain junior amat menggalakkan dan ini menunjukkan mereka mampu menyinar pada kejohanan akan datang.

“Kita melihat potensi yang ada pada pemain-pemain muda ini. Pemain junior ini merupakan sebahagian daripada pemain SUKMA Sarawak 2016 dan saya berharap mereka boleh membawa pulang pingat,” ujarnya.

Junior Team menampilkan lima pemain junior termasuk Bernard Yeo, Samdrick Yeo, Immanuel David, Aziel Teo dan Arthur Loh untuk melengkapkan lapan pemain.

Lee Kah Ming meletakkan Junior Team di depan dengan mengalahkan Michael Lee dalam perseorangan pertama, manakala Bernard Yeo mengenepikan Jimmie Teo 6-5 dalam perseorangan kedua untuk menjadikan Junior Team mendahului 2-0.

HGA yang ketinggalan merapatkan kedudukan menerusi Chou Eng Ching dan Chin Hau Shin yang mengalahkan Immanuel David dan Samdrick Yeo.

Jimmy Tan dan Danny Wee menjadikan kedudukan terikat 2-2 sebelum Aziel Teo dan Arthur Loh muncul wira Junior Team dengan mengalahkan Kenny Chin dan Edward Chin.

Junior Team merupakan pasukan pertama layak ke perlawanan akhir selepas mengalahkan HGA 4-1 dalam pusingan pertama, Cahya Mata 4-1 (pusingan kedua), Tee-Off Club yang merupakan juara bertahan 3-2 (suku akhir) dan Mafia Hukum 4-1 (separuh akhir).

Dalam kumpulan kalah, HGA mengalahkan Silver Grey 3-1, Korea Team 4-1, Cahya Mata 5-0, Harmoni 4- 1, PGABS Suria 3-2, Eagles 3-2 sebelum mengalahkan Mafia Hukum 3-2.

Sebanyak 20 pasukan menyertai kejohanan tahunan itu yang menyaksikan pertambahan empat pasukan berbanding edisi tahun lalu.

Timbalan Presiden KGS, Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Ghani yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri menutup kejohanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama Setiausaha KGS Simon Woon, Kapten KGS Dr David Sylvester Ling, Timbalan Kapten Bajuri Jaujie dan Pengerusi Kejohanan, Ting Kee Shuen.

Advertisement