Anda di sini

CAKE minta kerajaan import lembu hidup atasi kenaikan harga daging

Advertisement

PANTAU: Yussof (tengah) menunjukkan daging import ketika membuat tinjauan di pasar besar Alor Setar di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Kerajaan disaran supaya mengimport sendiri lembu hidup dari negara luar bagi mengatasi kenaikan harga lembu dan dagingnya yang dijangka berlaku mulai Jun dan menjadi kritikal menjelang Oktober.

Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Datuk Yusuff Ismail berkata sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan itu, isu berkaitan kenaikan harga lembu dan daging tidak akan menjadi masalah.

“Sekiranya krisis ini berlaku, ia akan menjadi masalah kepada semua pihak kerana ketika itu umat Islam bakal menyambut Aidilfitri dan Aidiladha. Jadi kerajaan perlu mengambil inisiatif mengimport lembu hidup untuk dijadikan sebagai bekalan.

“Krisis ini berlaku berikutan kekurangan bekalan lembu import dari Australia dan kenaikan harga lembu Thailand, tetapi ia tidak menjadi masalah sekiranya kerajaan memilih negara baharu untuk mendapatkan bekalan seperti New Zealand dan Brazil,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata negara seperti New Zealand dan Brazil merupakan antara negara yang banyak menternak lembu.

“Kita import lembu hidup dan kemudiaan letakkan di kawasan ladang ragut yang ada untuk dijadikan bekalan. Ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya krisis ini benar-benar berlaku kita tidak akan terputus bekalan. Lembu-lembu ini kemudian kita serahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk dijaga kerana pada pandangan saya, jabatan ini merupakan agensi paling layak untuk menjaga lembu kerana mereka mempunyai kepakaran,” kata Yusuff.

Beliau berkata sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah mengatasi masalah ini, ia boleh membebankan pengguna.

“Kalau nak cakap harga naik mendadak, sekarang pun harga seekor lembu dalam lingkungan RM3,000 hingga RM4,000, manakala harga daging import dijual pada RM26 dan RM28 sekilogram. Paling tinggi harga daging dijual pada RM29.

“Saya dapati harga lembu dan daging dijual pada harga berbeza di setiap daerah dan ini mungkin kerana ia melibatkan logistik. Tapi harga yang dijual masih dalam harga kawalan kerana bekalan lembu sentiasa ada,” katanya.

Beliau mendakwa orang tengah yang membeli lembu hidup daripada pengimport dengan harga sekitar RM10.20 dan RM12 sekilogram, sebelum menjual semula dengan harga yang tinggi, juga menjadi punca kenaikan harga.

“Hasil tinjauan harga di peringkat pengimport mendapati lembu dari Thailand dijual pada harga RM12 sekilogram dan lembu Australia RM10.20 sekilogram,” katanya.

Yusuff berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikan harga. — Bernama

Advertisement