Anda di sini

Azmin tolak kenyataan Saifuddin PKR parti Melayu

Advertisement

NAFI: Mohamed Azmin ketika sidang media khas sempena hari pencalonan PKR Selangor yang melibatkan 22 cabang di Ibu Pejabat PKR di Petaling jaya, semalam. — Gambar Bernama

Prinsip PKR berjuang tanpa mengira agama dan bangsa

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali menolak kenyataan setiausaha agung parti itu Datuk Saifuddin Nasution bahawa PKR didominasi kaum Melayu semenjak awal penubuhannya.

Beliau berkata, prinsip PKR adalah memastikan perjuangan untuk membawa budaya politik baharu dapat disuburkan di negara ini tanpa mengira agama dan bangsa.

“Keadilan tidak pernah menjadi parti berasaskan orang Melayu…parti ini mempunyai tanggungjawab besar, untuk pastikan satu budaya politik baharu dapat dibawa ke dalam sistem politik di Malaysia, iaitu politik yang tidak berasaskan agama dan kaum.

“Memang benar peringkat awal tak mudah nak kenalkan budaya parti pelbagai kaum. Tetapi setelah hampir 15 tahun, kita (PKR) buktikan bahawa generasi baharu negara kita mampu menerima hakikat politik perkauman harus ditolak, dan politik pelbagai kaum harus disuburkan,” katanya dalam sidang media sempena hari pencalonan PKR Selangor yang melibatkan 22 cabang semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Saifuddin, dalam satu wawancara yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Inggeris kelmarin, bahawa PKR masih didominasi kaum Melayu dan kaum bukan Melayu dalam parti itu harus menerima hakikat tersebut.

“PKR masih sebuah parti berasaskan Melayu. Ini adalah hakikat. Saya fikir orang bukan Melayu dalam parti perlu menerima hakikat ini,” kata Saifuddin.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti kali ini, berkata masa depan parti tidak harus ditentukan dengan strategi berkumpulan atau formasi.

“Seperti saya katakan sebelum ini bahawa kebimbangan saya adalah bahawa formasi atau berkumpulan adalah tidak sihat untuk masa depan parti. Saya tegaskan semalam (kelmarin) bahawa akhirnya yang akan tentukan masa depan parti ialah anggota, bukan kumpulan, bukan kartel, bukan pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan terbuka Saifuddin bahawa beliau sudah membuat pakatan dengan dua calon naib presiden iaitu Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli untuk menghadapi pemilihan kali ini.

Untuk mempertahankan jawatan nombor dua parti itu, selain Saifuddin, Mohamed Azmin akan berhadapan dengan dua lagi pemimpin parti iaitu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan muka baharu Datuk L. Ramachandran.

Bagi jawatan presiden, penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berhadapan dengan ketua umum parti, yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi empat tempat naib presiden, dua penyandangnya iaitu Nurul Izzah dan Tian Chua, akan berhadapan pertandingan 15 penjuru dan terdapat 76 calon akan berebut untuk mendapat tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP). — Bernama

Advertisement