Anda di sini

Zahid: Rakyat Malaysia di luar negara jangan terpedaya tawaran kewarganegaraan

Advertisement

DISAMBUT: Ahmad Zahid merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh disambut oleh para pelajar ketika hadir pada perasmian program ‘Jom Sihat’ bersama anak angkat mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) di Sekolah Kebangsaan Taiping Bayan, Hutan Melintang dekat Bagan Datoh, semlam. — Gambar Bernama

BAGAN DATOH: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara supaya jangan mudah terpedaya hasutan pembangkang atau tawaran syarikat menjanjikan taraf kerakyatan sesebuah negara.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraan tidak mudah mendapat kembali taraf kewarganegaraan itu selaras dengan Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Bagi mereka yang melucut kerakyatan ‘tiada maaf bagimu’, kecuali mengikut Peraturan 16A sebagaimana yang ada dalam Peraturan Imigresen 1963.

“Jangan sekali-kali mudah melucut kewarganegaraan, jangan benci pada negara ini dan terjebak dengan kebencian kononnya berhijrah ke negara luar dan ada syarikat yang menguruskan kewarganegaraan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Jom Sihat’ anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang mempunyai Pas Residen untuk bekerja atau belajar di luar negara dan berhasrat kembali ke tanah air untuk menjadi tenaga profesional, kepulangan mereka akan dipermudahkan.

“(Ini kerana) mereka (individu profesional) adalah bakat, tenaga cendekiawan, mereka mempunyai ilmu balik ke negara ini untuk membantu pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan kenyataan Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik daripada DAP yang mendakwa kononnya sebanyak 1,000 pemegang pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) telah diterima pulang oleh kerajaan Malaysia.

Beliau berkata setakat ini hanya tiga orang pemegang pasport BOC diterima pulang ke Malaysia tetapi mereka menerima Pas Residen dan bukannya taraf kewarganegaraan.

“Untuk (negara) UK (United Kingdom) sebanyak 673 orang (melucutkan kewarganegaraan Malaysia) telah memohon (untuk kembali menjadi warganegara) dan daripada jumlah itu sebanyak tiga orang diberi taraf Pas Residen,” jelasnya.

Kelmarin, Ahmad Zahid berkata Pas Residen hanya merupakan kebenaran yang diberikan kepada warganegara asing untuk tinggal di Malaysia untuk tempoh lima tahun dan boleh memohon untuk disambung setiap lima tahun.

“Sekiranya pemegang Pas Residen ini ingin mendapatkan kembali taraf kewarganegaraan, mereka perlu melalui proses sebagaimana warganegara asing yang mahu memohon dan mereka perlu menunggu 17 tahun dan membuktikan bahawa mereka taat setia kepada negara dan memenuhi syarat permohonan termasuk ujian kemahiran dalam bahasa Melayu,” katanya. — Bernama

Advertisement