Anda di sini

SMK Sedaya juara bola sepak MSSM Sibu

Advertisement

SIBU: Jaringan Sebastian Kenneth pada separuh masa kedua membawa kemenangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedaya 1-0 menewaskan SMK Luar Bandar Sibu pada Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Menengah (MSSM) Bawah 15 Tahun (B15) Sibu kelmarin.

Sebastian yang juga finalis program ‘Mencari Ramli 3’ turut dinobatkan pemain terbaik pertandingan dan pasukan SMK Sedaya membawa pulang hadiah berupa piala dan medal.

Pada perlawanan berlangsung di padang SMK Sibu Jaya petang kelmarin turut menyaksikan pasukan tuan rumah, SMK Sibu Jaya mendapat tempat ketiga selepas mengalahkan SMK Kampung Nangka yang sekadar berpuas hati di tempat keempat.

Selain itu, Mohd Syazwin Sapawi mewakili SMK Kampung Nangka diumumkan sebagai penjaga gol terbaik dan pemain SMK Sibu Jaya, Hendry Nyalau pula dinobatkan sebagai penjaring terbaik.

Seramai 16 pasukan mengambil bahagian iaitu SMK Sibu Jaya, SMK Durin, SMK Sedaya, SMK Bawang Assan, SMK Methodist, SMK Bukit Lima, SMK Kampung Nangka, SMK Rosli Dhoby, SMK Ulu Balingian, SMK Nanga Dap, SMK Kanowit, SMK Agama Sibu, SMK Luar Bandar Sibu, SMK Bukit Assek, SMK Sacred Heart dan SMK Lanang.

Kejohanan itu dianjurkan SMK Sibu Jaya dan SMK Luar Bandar Sibu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Sibu bermula 8 hingga 11 April lalu.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengetua SMK Sibu Jaya, Mohamed Nor Junoh yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Sibu.

Advertisement