Anda di sini

Skuad Sayang jentera untuk dekati rakyat

Advertisement

MUKAH: Skuad Sayang merupakan satu jentera Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk mendekati rakyat dengan kerjasama ketua kaum dan ketua masyarakat di setiap kawasan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata penubuhan skuad itu merupakan satu usaha memastikan kerajaan sentiasa dekat kepada rakyat selain menunjukkan kasih sayang kepada masyarakat dan memastikan kebajikan rakyat terus dijaga dan diambil perhatian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, aktiviti dan program bersama-sama rakyat dijalankan sepanjang tahun oleh Skuad Sayang seperti melakukan lawatan ke kawasan kampung dan rumah panjang.

“Skuad ini ditubuhkan bukan sahaja di peringkat cawangan, malah peringkat akar umbi di setiap ranting. Dengan usaha ini, kita mampu mendalami masalah dihadapi rakyat kerana kita lebih menumpu hal kebajikan rakyat.

“Sekiranya didapati terdapat anggota masyarakat yang sangat memerlukan bantuan, maka kita akan membantu mereka bagi meringankan beban,” katanya pada majlis pelancaran Skuad Sayang bagi kawasan Dalat di Stadium Perpaduan di sini, semalam.

Sementara itu, Fatimah berkata walaupun Skuad Sayang merupakan jentera bagi Wanita PBB namun Bapa dan Pemuda PBB juga turut bersama-sama bergerak dengan jentera tersebut.

“Tidak semestinya Bapa dan Pemuda PBB tidak boleh ikut, malah mereka sangat dialu-alukan kerana kita merupakan satu parti yang sama dan semangat kerjasama antara Wanita, Bapa dan Pemuda PBB diperlukan untuk memantapkan jentera parti kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa golongan kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah mendaftarkan nama mereka dalam senarai e-Kasih.

Fatimah memberitahu, sekiranya golongan ini mendaftarkan nama mereka dalam senarai e-Kasih maka memudahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat tindakan sewajarnya terutama dalam usaha menghulurkan bantuan.

“Setakat ini bagi kawasan Mukah dan Dalat jumlah senarai nama mendaftar dalam e-Kasih masih berkurangan. Justeru, saya menggesa agar golongan yang sepatutnya mendaftar perlu membuat pendaftaran kerana merupakan satu peluang untuk golongan itu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Jika tidak mendaftar maka terlepaslah peluang itu selain memudahkan untuk proses menghulurkan bantuan. Lagipun hasrat kerajaan adalah untuk membasmi kemiskinan di negara ini dan Sarawak,” katanya.

Advertisement