Anda di sini

Sarawak perlu tenaga profesional, mahir

Advertisement

RASMI: Fatimah (tiga kanan) mewakili Ketua Menteri merasmikan pembukaan Program LaTiCe RCEE RHED 2014 di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Permintaan terhadap tenaga kerja profesional dan berkemahiran dalam kejuruteraan mekanikal dijangka menjangkau 29,300 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, permintaan tinggi ini adalah bagi menampung keperluan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menjelang 2020.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini Sarawak hanya mampu mengeluarkan kapasiti seramai 1,700 tenaga kerja profesional dan berkemahiran dan disifatkannya sebagai kritikal bagi Sarawak.

“Pembentukan industri-industri intensif tenaga dalam SCORE dijangka melonjakkan permintaan terhadap modal insan di Sarawak.

“Keadaan ini sekali gus menuntut tenaga kerja yang berkualiti terutama jurutera dan ahli sains komputer yang akan memudahkan Sarawak dalam memenuhi permintaan SCORE.

“Sehubungan itu, universiti terutama yang ada di Sarawak merupakan pemain utama sebagai hab penjanaan dan penyebaran pengetahuan ke arah merealisasikan agenda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada pembukaan rasmi Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pengkomputeran Dan Kejuruteraan (LaTiCe) 2014 sempena ‘2014 Regional Conference In Engineering And Research In Higher Education (RCEE & RHED) di sini, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan berkata bagi membentuk pembangunan yang seimbang di seluruh negara, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan lima koridor ekonomi antara tahun 2006 hingga 2010.

Sarawak jelasnya telah diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada koridor ekonomi dengan mewujudkan SCORE pada awal tahun 2009 dan dijangka berupaya menarik industri-industri intensif tenaga yang akan melengkapi rancangan pembangunan 2008-2030 bagi negeri ini.

Pertumbuhan SCORE akan memberi impak kepada seluruh negeri di samping memberi peluang kepada rakyat luar bandar untuk turut serta dalam matlamat ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Mengulas mengenai persidangan tersebut, Adenan berkata inisiatif yang diambil oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Uppsala University dalam menjayakan persidangan ini adalah langkah tepat dalam mengetengahkan kepentingan pengajaran dan pembelajaran perkomputeran dan kejuruteran.

Sehubungan itu, beliau berharap persidangan yang menghimpunkan para intelektual dari pelbagai bahagian di seluruh dunia ini boleh menyebarkan idea-idea penyelidikan terbaik dalam hala tuju terbaik transformasi pendidikan tinggi.

“Berkongsi idea dan hasil penyelidikan yang terbaik pada persidangan ini akan memberi manfaat kepada semua peserta untuk dibawa balik ke institusi-institusi masing-masing.

“Semua kerja baik tidak seharusnya berakhir pada persidangan ini sahaja tetapi harus dipertimbangkan sebagai platform bagi kerjasama yang produktif pada masa akan datang antara kita semua,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang, wakil pengelola program LaTiCe RCEE RHED 2014 Prof Dr Baharuddin Aris, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM Prof Dr Rose Alinda Alias serta yang lain.

Advertisement