Anda di sini

Punca kematian budak perempuan masih disiasat

Advertisement

SIMUNJAN: Polis masih menyiasat punca kematian seorang kanak-kanak per­empuan yang dipercayai didera berikutan terdapat kecederaan pada kemaluan serta tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Choo Yin Kok berkata mangsa berusia enam tahun itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Simunjan, Khamis lepas.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya itu mengalami kecederaan teruk di kemaluan, selain terdapat kesan gigitan pada tangan mangsa.

“Justeru, kita telah mena­han seorang suspek yang juga bapa suadara mangsa berusia 46 tahun dan bekerja sebagai pembantu am rendah sekolah untuk siasatan lanjut.

“Suspek akan direman di hadapan Pegawai Daerah Simunjan pagi ini (kelmarin) dan sepasukan anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) juga akan tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” kata Choo.

Selain itu, Choo turut mem­beritahu pihaknya juga telah mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula dari tarikh dia ditahan.

Tambahnya lagi, proses bedah siasat mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari ini.

“Mayat mangsa akan di­hantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk proses bedah siasat yang dijadual akan diadakan pada jam 10 pagi hari Ahad ini,” ka­tanya.

Difahamkan, mangsa ting­gal bersama dengan ibu dan bapa suadaranya di Kampung Sageng, di sini dan bersekolah dalam kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng.

Beliau menambah, mangsa tidak tinggal bersama ibu kandungnya kerana dika­takan bekerja dan menetap di pekan Serian, dekat sini.

“Kami akan menjalankan siasatan dari semua sudut dan kes ini disiasat di bawah Sek­syen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Advertisement