Anda di sini

Perwakilan PBTLDM perlu bersemangat, ikhlas dan jujur

Advertisement

SERIAN: Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Cawangan Sarawak memerlukan perwakilan yang bersemangat tinggi, ikhlas serta jujur dalam memperjuangkan nasib warganya di seluruh negeri.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Yang Dipertua PBTLDM Sarawak Thomas Ling Kui Eng semasa berucap pada Majlis Perasmian Pemakaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Masyarakat Serian di sini, semalam.

“Tahun ini, kita membuat pemilihan bagi sesi 2014/2017. Oleh itu semua ahli PBTLDM Sarawak mesti memilih mereka yang bersemangat tinggi dan ikhlas.

“Ia seperti memilih buah durian, jika tersalah pilih dan ia berulat maka sudah tentu ia tidak dapat dimakan. Begitu juga halnya dengan kepimpinan kerana ideologi perjuangan PBTLDM Sarawak memerlukan pemimpin yang bersemangat dan ikhlas,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama dan sokongan padu para ahli diteruskan walaupun selepas tampuk perwakilan bertukar.

Mesyuarat AGM keenam semalam dihadiri ahli-ahli dari seluruh negeri bagi mencari perwakilan baharu untuk sesi 2014/2017.

Di bawah pimpinan Thomas, PBTLDM Sarawak telah berjaya menganjurkan lebih 50 aktiviti hasil kerjasama 173 ahli persatuan itu.

Beliau juga memohon agar lebih 300 anggota TLDM yang belum memohon keahlian agar berbuat demikian bagi membela nasib warganya yang telah bersara.

Seramai 13 anggota bersara TLDM dan tujuh anggota bersara Tentera Darat masing-masing dipakaikan PJM oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah II Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohammad Rosland Omar.

Rosland turut menyatakan penghargaan atas usaha gigih Thomas dalam mengutip dana bagi PBTLDM Sarawak yang dianggarkan berjumlah RM100,000 setakat ini.

Beliau mahu PBTLDM Sarawak menjadi contoh kerjasama, komitmen dan bersatu hati bagi persatuan yang sama di negeri-negeri lain.

Hadir sama Kapten (B) Abdul Wahap Ahmad dan Yang Dipertua PBTLDM Selangor yang mewakili Presiden PBTLDM pusat, Onn Yassin.

Advertisement