Anda di sini

Pemuda PBB Satok akan pergiat usaha daftar belia sebagai pemilih

Advertisement

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok akan turun padang untuk meningkatkan jumlah golongan belia berdaftar sebagai pemilih.

Perkara itu ditegaskan Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok pada sidang media sebelum Mesyuarat Tertutup Exco PBB Satok di Pejabatnya di Jalan Kulas, malam kelmarin.

Beliau memberitahu bagi tujuan itu, satu program khas telah dirancang untuk diadakan di Wisma Satok dalam masa terdekat.

“Pemuda PBB Satok akan turun padang beramah mesra dengan golongan belia di bandar raya ini dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi dalam usaha kita menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya.

Abang Johari menjelaskan, Pergerakan Pemuda PBB juga akan berinteraksi dengan belia pada program itu nanti bagi merapatkan lagi hubungan khasnya melibatkan golongan muda.

“Belia adalah penentu masa hadapan sebab itulah kita menerusi Pemuda kita akan turun padang menjalankan satu program untuk menjayakannya,” tambahnya.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan pendaftaran pengundi baharu di kawasan itu.

“SPR mempunyai sistem pendaftaran secara atas talian (online) kita akan berbincang untuk agar laman sesawang kita dapat bersambung dengan laman SPR bagi memudahkan lagi pendaftaran pengundi nanti,” jelasnya lagi.

Advertisement