Anda di sini

Najib ziarah Haron Din di IJN

Advertisement

KUNJUNGAN: Najib berbual mesra bersama Haron (kiri) yang kelihatan ceria dan semakin sihat semasa kunjungan Perdana Menteri ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menziarahi Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Najib yang tiba pada jam 1.30 petang, meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama Haron, yang menerima rawatan di IJN sejak seminggu lalu.

Haron, 73, kelihatan ceria sambil ditemani anaknya Dr Huda Haron dan menantu, Dr Azlin Azzuddin.

Turut serta Pakar Perunding Kardiologi IJN Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin.

Sementara itu, Najib dalam catatan terbaharu di laman Facebook beliau berkata keadaan kesihatan Haron bertambah baik dan beliau mendoakannya kembali sihat seperti sediakala.

“Alhamdulillah, kesihatan beliau beransur baik. Sama-samalah kita berdoa agar beliau segera sembuh seperti sediakala,” katanya yang turut memuat naik gambarnya menggenggam erat tangan tokoh agama itu.

Kali terakhir Haron menerima rawatan di IJN ialah pada hujung Januari lepas. — Bernama

Advertisement