Anda di sini

Laporan anak pasangan Malaysia dihantar ke Sweden: Rohani

Advertisement

PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar lapan laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial di Sweden mengenai empat anak kepada pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata laporan itu dihantar menerusi Wisma Putra.

“Ia berkisar pada perkembangan empat beradik itu yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Penganugerahan Program Aspirasi Gemilang ‘A’ di sini semalam.

Menurutnya, laporan itu antara lain memuatkan aktiviti harian, perkembangan persekolahan dan emosi empat beradik itu, kata Rohani sambil menambah mereka kini selesa dengan persekitaran (tempatan) serta aspek bahasa.

Rohani berkata perkembangan mereka dari semasa ke semasa dipantau rapi dua pegawai kaunseling daripada kementerian.

Aisyah Azizul Raheem, 14, kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor; manakala Ammar (12), Adam (11) dan Arif (7) pula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Kala sejak Februari lepas.

Mac lepas, ibu bapa mereka, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden; dan Shalwati Norshal, guru bercuti tanpa gaji, dihukum penjara masing-masing 10 bulan dan 14 bulan kerana didapati bersalah mengasari anak mereka oleh Mahkamah Daerah Solna di Sweden.

Pada majlis hari ini, Rohani menyampaikan sumbangan bernilai lebih RM10,000 kepada 50 pelajar daripada 43 rumah kebajikan yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia melalui Program Aspirasi Gemilang ‘A’.

Dilancarkan Ogos tahun lepas, ia melibatkan kerjasama antara kementerian itu dengan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad.

Sehingga kini, ia memberi manfaat kepada hampir 500 pelajar sekolah dengan bantuan antara lain berbentuk buku rujukan, buku latihan dan alat tulis. — Bernama

Advertisement