Anda di sini

Kuching damba pertahan kejuaraan silat

Advertisement

KUCHING: Kontinjen Bahagian Kuching meletakkan sasaran mempertahan kejuaraan pada Kejohanan Silat Seni Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Negeri di Dewan Suarah Mesra Mukah pada 14 hingga 17 April ini.

Pengurus pasukan yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SMK Matang Hilir, Sejali Basri berkata seramai 26 pesilat yang mantap iaitu lapan pelajar lelaki dan enam wanita sekolah menengah serta enam lelaki dan enam wanita sekolah rendah menjadi sandaran untuk memburu misi tersebut.

Menurutnya, melalui kem latihan intensif pesilat di Dewan Sri Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Hilir pada 7 hingga 11 April lalu, pihaknya yakin mampu memberi saingan serta mengekalkan kejuaraan pada kejohanan ini.

“Kontinjen Kuching kini sudah bersedia beraksi dan kami dalam misi mempertahan kejuaraan,” katanya sebelum bertolak ke Mukah semalam.

Begitupun, Sejali menjangkakan kejohanan kali ini agak sengit kerana ada pasukan mahu menebus kekalahan masing-masing pada kejohanan lalu.

“Apa pun kita bersedia menyahut cabaran, malah kita kini berada pada prestasi terbaik dan tidak sabar menunjukkan kehebatan pada kejohanan ini,” jelasnya.

Menurutnya, seramai lapan orang pegawai terlibat mengiringi kontinjen Kuching ke kejohanan itu diketuai oleh beliau sendiri.

Sejali turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuching dan PPD Padawan dalam menjayakan latihan serta persiapan kontinjen Kuching.

Advertisement