Anda di sini

Dendam kesumat berbalas

Advertisement

HALANG: Junior menghalang pergerakan pemain import Terengganu, Mario Karlovic pada saingan Liga Super 2014 di Kuala Terengganu malam kelmarin. — Gambar Bernama

Sarawak leburkan rekod tanpa kalah Terengganu di laman sendiri

KUCHING: Sarawak meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Super 2014 dengan melakar kemenangan bergaya 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Ibarat melunaskan misi membalas dendam selepas tewas 1-3 di gelanggang sendiri (Stadium Negeri) tempoh hari, Ngap Sayot mendominasi perlawanan pada sejak wisel pertama dibunyikan.

Beberapa rombakan yang dilakukan jurulatihnya, Robert Alberts untuk menghadapi perlawanan itu membariskan Fadzley Rahim sebagai penjaga gol dan Shahrol Saperi di bahagian tengah.

Percaturan jurulatih import dari Belanda itu ternyata membuahkan hasil apabila Sarawak berjaya merencana beberapa serangan berbahaya ke atas kubu sang Penyu.

Baharu tiga minit perlawanan babak pertama, penyerang Sarawak S Chanturu mengejutkan pasukan tuan rumah (Terengganu) dengan gol pertama hasil tandukan cantik.

Terengganu yang tertekan dengan jaringan awal itu melancarkan serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan.

Usaha pasukan tumah akhirnya berhasil pada minit ke-37 apabila pemain Sarawak, Junior Eidstal tertampan bola ke gawang sendiri.

Selepas kedudukan terikat, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan perlawanan nampak agak seimbang.

Namun, Sarawak yang berhasrat untuk membawa pulang tiga mata penuh akhirnya tercapai apabila beroleh jaringan kemenangan menerusi Griffith yang menerima hantaran lintang daripada Mazwandi Zakeria.

Ia merupakan jaringan pertama Griffith sejak bersama Sarawak awal April ini.

Sehubungan itu, Alberts yang dihubungi semalam berkata anak-anak buahnya bermain dengan positif dan mengikut taktikal yang dirancang untuk meraih kemenangan.

“Bukan mudah untuk menang di sini (Kuala Terengganu), ini kerana Terengganu agak kebal ketika bermain di gelanggang sendiri,” katanya.

Menurutnya, semua posisi berfungsi dengan baik untuk mengimbangi perlawanan.

“Perlawanan hari ini agak berbeza berbanding ketika kita beraksi di Kuching sebelum ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, kredit juga harus diberikan kepada pertahanan dan penjaga gol yang beraksi cemerlang bagi menghalang Terengganu menjaringkan gol.

Kembalinya pemain import, Gabor Gyepes dalam pasukan Sarawak ternyata memperkuatkan jentera pertahanan.

Kemenangan itu meletakkan Sarawak kini naik ke tangga ketujuh liga selepas mengutip 16 mata.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak menanti kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Negeri, Kuching pada 15 April ini (Selasa).

Advertisement