Anda di sini

Usaha mencari MH370 yang hilang memasuki hari ke-34

Advertisement

PERTH: Pesawat dan kapal-kapal yang mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) telah mengesan banyak objek di selatan Lautan Hindi dan berjaya menemui beberapa daripadanya, namun tiada satupun adalah dari pesawat MAS penerbangan MH370, menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).

“Tiada satupun objek yang ditemui dipercayai berkaitan dengan MH370,” menurut kenyataan itu, ketika pencarian pesawat Boeing 777-200ER memasuki hari ke-34 pada Khamis, melibatkan 14 pesawat dan 13 kapal dengan menjejaki kawasan pencarian seluas 57,923 kilometer persegi.

Menurut JACC usaha pencarian di dasar laut disambung semula pada Khamis dengan kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield memantau di sebelah utara manakala kapal China Haixun 01 dan HMS Echo berada di hujung sebelah selatan.

Tiupan angin sederhana dari tenggara dan hujan sekejap-kejap diramal berlaku  di kawasan berkenaan pada Khamis, menurut kenyataan itu, memaklumkan penglihatan sederana (5,000 meter) semasa hujan.

Ocean Shield yang menunda sebuah alat pengesan ping Tentera Laut Amerika Syarikat bagi mengesan isyarat daripada perakam pesawat telah dua kali mengesan isyarat pada Sabtu. Pada Selasa, ia mengesan isyarat berkenaan sebanyak dua kali.

Ketua Penyelaras JACC, Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata berdasarkan analisis pakar mengenai dua isyarat pertama itu, mereka mempercayai ia konsisten dengan spesifikasi dan gambaran daripada perakam data pesawat. Kapal China Haixun 01, juga melaporkan telah mengesan beberapa bunyi akustik.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam, kira-kira selepas sejam pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal, sepanjang dua koridor iaitu koridor utara meliputisempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridorselatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi” berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. — Bernama

Advertisement