Anda di sini

SPAN galak PBT guna air kumbahan terawat dan biopepejal

Advertisement

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri melaksanakan penggunaan semula air kumbahan terawat dan biopepejal untuk kegunaan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Teo Yen Hua berkata setakat ini Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengadakan perjanjian dengan dua PBT iaitu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Alor Setar, Kedah untuk tujuan itu.

“Buat permulaan, air kumbahan loji IWK digunakan untuk landskap, menjirus pokok dan sebagainya. Biopepejal pula digunakan sebagai baja. Kami sebagai pengawal selia amat menggalakkan penggunaan semula air kumbahan dan biopepejal.

“Untuk penggunaan lebih besar, kita perlu kaji untuk apa penggunaannya terutama air kumbahan dari loji IWK untuk kegunaan bukan manusia seperti kilang…yang itu semua boleh digalakkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Hari Terbuka Loji Olahan Kumbahan Serantau Jelutong, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din. — Bernama

 

 

Sementara itu, Abdul Kadir berkata penggunaan semula air kumbahan terawat itu juga boleh menggalakkan konsep tenaga hijau dalam keadaan air yang berkurangan ketika ini.

“Pihak PBT digalakkan untuk menyambut seruan ini menggunakan biopepejal untuk landskap mereka. Begitu juga dengan air kumbahan terawat ini. Air kumbahan terawat IWK ini mengandungi nutrien dan fosforus yang diperlukan oleh tanaman,” katanya.

Beliau berkata industri tertentu juga digalak untuk menggunakan air kumbahan terawat berkenaan untuk tujuan pembersihan dan penyejukan bagi meningkatkanpenyimpanan bekalan air minuman. — Bernama

Advertisement