Anda di sini

Pusat Koordinasi Sel Stem Kebangsaan dilancar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan Pusat Koordinasi Sel Stem Kebangsaan (NSCCC) akhirnya terlaksana dengan pelancaran pusat itu semalam.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM Datuk Dr Azmi Shapie berkata  pusat itu dibangunkan dengan kos RM50,000 dan ia dianggap satu penjimatan kerana kepakaran yang ada dalam KKM digunakan sebaiknya dalam menyelaras dan membangunkannya.

“Saya berharap kewujudan NSCCC ini dapat memanfaatkan pesakit yang amat memerlukan rawatan sel stem,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan NSCCC di Pusat darah Negara di sini, mewakili Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan yang diedarkan pada majlis itu, Dr Noor Hisham menjelaskan sel stem hanya boleh diperoleh daripada salur darah, sum-sum tulang atau darah tali pusat bayi yang baru dilahirkan untuk menghasilkan pelbagai jenis komponen darah yang diperlukan untuk merawat pesakit.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia berumur 18 hingga 50 tahun yang sihat dan bebas daripada penyakit berjangkit dan penyakit kronik digalak mendaftarkan diri sebagai penderma sel.

Antara penyakit yang mungkin boleh dirawat dengan rawatan transplantasi sel stem darah ialah leukemia, limfoma, thalasemia dan aplastik anemia.

Statistik menunjukkan sejak 2006 hingga 31 Mac 2014, 22,933 rakyat Malaysia berdaftar sebagai penderma sel stem darah dalam Daftar Sel Stem Malaysia mewakili 0.08 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

Turut dilancarkan ialah buku garis panduan yang antara lain menyenaraikan polisi dan prosedur bagi memastikan proses pendermaan sel stem mematuhi etika profesional. — Bernama

Advertisement