Anda di sini

KPDNKK perjelas Cukai Barangan dan Perkhidmatan kepada rakyat

Advertisement

LUMUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menyampaikan maklumat lebih terperinci dan tepat sehingga ke peringkat akar umbi mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang diluluskan Dewan Rakyat pada Isnin lepas.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata perkembangan terbaharu termasuk maklumat tambahan seperti senarai barangan yang tidak dikenakan CBP akan turut disampaikan.

“Kita bersedia berdialog dengan golongan peniaga serta rakyat sebagai pengguna mengenai CBP yang akan dilaksanakan mulai April 2015. KPDNKK perlu pastikan harga barangan tidak dinaikkan dan mereka perlu bersedia menerima hasil pelaksanaan (CBP) yang baik itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Penjaja di Jeti Lumut di sini semalam.

Pelaksanaan CBP yang lebih telus dan seragam ialah hanya pada kadar 6 peratus berbanding cukai jualan dan cukai perkhidmatan sebelum ini sebanyak 16 peratus.

Beliau berkata KPDNKK sentiasa bekerjasama dengan agensi serta kementerian lain seperti Jabatan Kastam dan Kementerian Kewangan dalam menyampaikan maklumat mengenai CBP.

Rang Undang-undang CBP diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali, dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding pihak kerajaan 118 undi, manakala kali kedua, pembangkang kekal dengan 81 undi  penyokong kerajaan memperoleh 119 undi.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata sebanyak RM1.08 juta diluluskan bagi Program Penjaja 1Malaysia (PP1M) tahun ini dengan enam lokasi yang didapatisesuai mulai Jun ini. — Bernama

Advertisement