Anda di sini

Dewan Rakyat lulus usul sumbang AS$27j kepada IDA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan usul Kementerian Kewangan supaya Malaysia membuat sumbangan AS$27 juta atau RM87 juta kepada Program Penambahan Dana ke-17 Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan ketika membentangkan usul itu berkata pada program penambahan dana IDA kali ini, Malaysia melangkah ke dimensi baharu di arena antarabangsa dengan menjadi negara penderma.

Beliau menjelaskan pembayaran akan dilakukan secara ansuran AS$3 juta (RM9.67 juta) setahun selama sembilan tahun bagi meminimumkan aliran tunai keluar dari negara.

“Keputusan Malaysia untuk menjadi penderma IDA bersesuaian dengan status sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan bertepatan denganpendirian negara yang sentiasa menyokong pembangunan di negara sedangmembangun,” katanya.

Beliau menarik perhatian Malaysia sebenarnya telah membuat sumbangan sebanyak RM16.6 juta sejak 1960.

“Malaysia komited memberikan sumbangan asas iaitu langganan kepada IDA pada setiap pusingan penambahan dana sejak 1960 lagi. Sumbangan ini bertujuan mengekalkan status negara anggota dan peratusan kuasa mengundi dalam IDA,” kata Ahmad.

Peratusan kuasa mengundi Malaysia dalam IDA sehingga 31 Dis 2013 ialah 0.36 peratus.

Ditubuhkan pada 1960, IDA adalah sebuah institusi kumpulan Bank Dunia bertujuan membantu negara anggota yang miskin dengan memberi pinjaman jangkapanjang berasaskan syarat-syarat yang longgar dan tanpa faedah.

Sumber kewangan yang digunakan untuk membiayai program dan aktivitinya ialah melalui caruman tambahan modal, pindahan sebahagian pendapatan InternationalBank for Reconstruction and Development (IBRD), pendapatan bersih IDA dansumbangan khas yang dibuat oleh negara-negara penderma.

IDA dianggotai 172 negara anggota yang dibahagikan kepada dua kategori — negara maju dan negara membangun serta kurang membangun. Malaysia dikategorikandalam kumpulan kedua.

Ahmad berkata negara ASEAN lain yang turut mengambil keputusan untuk menjadi negara penderma IDA buat pertama kali ialah Indonesia dan Thailand, manakala Singapura menjadi negara penderma IDA sejak Program Penambahan Dana ke-13.

Beliau berkata Program Penambahan Dana ke-17 IDA penting bagi memastikan program pembangunan seperti hospital, jalan raya dan sekolah yang direncanakan organisasi itu dapat dilaksanakan secara berterusan.

Ia bagi membantu 82 negara berpendapatan rendah di seluruh dunia dalam mencapai pembangunan ekonomi yang seimbang, tambahnya. — Bernama

Advertisement