Anda di sini

Curi Myvi, seorang daripada dua suspek ditahan

Advertisement

JAUTEH bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kota Kinabalu Deputi Superintenden Nor Azizulkifli Mansor (kiri) menunjukkan Perodua Myvi yang berjaya ditemui semula dalam tangkapan itu.

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas seorang daripada dua suspek yang dikenal pasti terlibat dalam kes curi kenderaan dan rompak membabitkan seorang kerani wanita dalam kejadian di Plaza Juta, Likas pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan polis berjaya mengesan suspek di kawasan University Apartment (UA) Jalan Sulaman, di sini kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

“Suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun itu berjaya dicekup kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

“Hasil daripada tangkapan suspek, kita berjaya menemui semula Perodua Myvi yang dipercayai dilarikan oleh mereka dalam insiden itu di sebuah lokasi berhampiran bangunan CKS, Menggatal.

“Polis masih giat memburu seorang lagi suspek lelaki yang berusia 40 tahun di mana difahamkan turut terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini kelmarin.

Dalam kejadian berlaku antara jam 5.30 dan 6 pagi pada 9 April lalu, seorang wanita berusia 23 tahun mengalami kecederaan selepas Perodua Myvi yang dimilikinya dilarikan dua suspek terbabit di Plaza Juta, Likas.

Mangsa yang bergelut dengan kedua penjenayah itu kemudiannya berjaya meloloskan diri dengan bertindak melompat keluar dari Myvi terbabit di sebuah lokasi berhampiran Alam Mesra Dua, di sini.

Sementara itu, Jauteh berkata siasatan awal turut mendapati motif kejadian itu adalah rompakan dengan menggunakan senjata tajam selain mengambil kesempatan atas kelewaan mangsa.

“Dalam kejadian ini, kita percaya kedua suspek memerhatikan gerak-geri mangsa sebelum bertindak merompak.

“Berdasarkan laporan, mangsa ketika itu dipercayai baru sahaja tiba di perkarangan parkir kenderaan di Plaza Juta sebelum didatangi oleh kedua-dua suspek lalu melarikannya hingga ke kawasan Alam Mesra,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci sama ada suspek turut terlibat dengan insiden curi kenderaan membabitkan mangsa seorang kanak-kanak lelaki di Asia City pada 7 April lalu.

“Suspek juga didapati positif dadah dan mempunyai kesalahan lampau dalam narkotik.

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat sekiranya mereka ini turut terlibat pada insiden curi kenderaan pada Isnin lalu di Asia City,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

 

 

Advertisement