Anda di sini

Tindakan berhubung Laporan Ketua Audit Negara akan dimaklum: KSN

Advertisement

PUTRAJAYA: Tindakan terhadap kementerian, agensi dan jabatan kerajaan yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 akan dimaklumkan dalam masa terdekat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kenyataan mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi termasuk jumlah pegawai yang terlibat dalam kelemahan-kelemahan yang dilaporkan.

“Kita lihat insiden teguran dan lain-lain yang berkaitan telah berkurangan. Saya telah maklumkan kepada ketua-ketua setiausaha dan jabatan supaya kita terus berusaha sebaik mungkin bagi menentukan insiden teguran terus berkurangan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan prapelancaran Pusat Pemeriksaan Kesihatan Wanita Puspanita di Kompleks Puspanitapuri Presint 10 dan Seminar Tahunan ‘Wanita Sejahtera, Lelaki Perkasa.’

Isnin lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata Jabatan Audit Negara mengemukakan 109 syor dalam Laporan Audit Negara 2013 Siri 1 untuk kementerian/jabatan dan syarikat kerajaan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Laporan itu turut mencadangkan supaya Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan dan Ketua Eksekutif mengambil tanggungjawab menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi setiap program, projek atau aktiviti di organisasi masing-masing.

Ali berkata cadangan itu telah dimaklumkan kepada ketua-ketua setiausaha kementerian supaya mengambil perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Ali berkata kerajaan akan mengumumkan tindakan susulan yang akan diambil selepas insiden kes penculikan dua warga asing di Sabah Rabu lepas, di Semporna, yang meliputi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Fungsi ESSCOM memang luas termasuk menjaga keselamatan kawasan di Timur Sabah. Ia akan dimaklumkan selepas lawatan ke ESSCOM diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 2 April, seorang pelancong wanita warga China Goa Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan pekerja resort warga Filipina Marcy Dayawan @ Mimi, 40, diculik tujuh lelaki bersenjata kira-kira jam 10.30 malam selepas menceroboh masuk Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna. — Bernama

Advertisement